BERITA UTAMA
Kerajaan akan putuskan sama ada dedah laporan RCI Batu Puteh, kata sumber

Kerajaan akan putuskan sama ada dedah laporan RCI Batu Puteh, kata sumber

PETALING JAYA – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan menyerahkan kepada kerajaan untuk memutuskan sama ada laporannya didedahkan kepada umum, kata sumber.

Menurutnya, RCI itu akan membentangkan penemuan dan cadangannya kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada tarikh yang akan ditentukan, dijangka akhir bulan ini.

Sumber berkata, laporan itu sulit kerana mengandungi maklumat sensitif berhubung rundingan berterusan dengan Singapura berkaitan perairan wilayah.

RCI menyerahkan kepada kerajaan untuk membuat keputusan muktamad sama ada akan mendedahkan laporannya kepada umum, tetapi ahli akan mengemukakan cadangan tertentu kepada perdana menteri, kata sumber itu kepada FMT.

Isnin lalu, RCI itu menyerahkan laporan akhirnya kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara.

Pada 3 Feb 2017, Putrajaya memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sembilan tahun sebelumnya bahawa Singapura mempunyai hak ke atas Batu Puteh.

ICJ turut memutuskan Batuan Tengah milik Malaysia, manakala hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4km dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara menguasainya.

Tetapi, sebaik mengambil alih Putrajaya pada Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan itu, dua minggu sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.

Pada 14 Feb lalu, Sultan Ibrahim memperkenan penubuhan RCI yang diketuai bekas ketua hakim negara, Md Raus Sharif bagi menyiasat mengapa Malaysia menggugurkan permohonan semakannya.

Ketika itu, Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said dilaporkan berkata, RCI ditubuhkan untuk mencari penyelesaian dan menambah baik isu kedaulatan negara, bukannya mencari kesalahan mana-mana pihak.

Pada 12 Jun lalu, Mahathir memberi keterangan dalam prosiding RCI yang dijalankan secara tertutup.

Pada hari sama, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Mahathir bagi menyingkirkan Raus, Baljit Singh Sidhu dan Ridha Abd Kadir daripada panel RCI itu.

Hakim Amarjeet Singh juga enggan memerintahkan prosiding RCI itu dijalankan secara terbuka dan prosiding RCI tidak boleh menerima semakan kehakiman oleh mahkamah.

Pada 5 Jun lalu, Mahathir yang menjadi perdana menteri buat kali kedua antara Mei 2018 dan Februari 2020, dilaporkan berkata pelantikan Raus bertentangan prinsip keadilan asasi memandangkan beliau pihak berkepentingan.

Mahathir memfailkan semakan kehakiman pada 2017 untuk mencabar kesahihan Raus terus berkhidmat sebagai ketua hakim negara sehingga 2020, selepas beliau dilantik hakim tambahan Mahkamah Persekutuan. Pelantikan itu dibuat selepas Raus mencapai umur persaraan wajib yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Mahathir turut berkata, Baljit dan Ridha akan menetapkan terlebih dahulu isu itu kerana mereka turut menganggotai pasukan petugas khas ditubuhkan pada 2021 untuk meneliti serta memberi cadangan berhubung Batu Puteh, termasuk kajian semula undang-undang. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *