CHUKAI: “Esok abg balik,”. Itu kata-kata terakhir Shahrill Ismail, 50, kepada isterinya, Roziana Ali, 41, sebelum turun ke laut petang semalam.
Sharill yang juga pembantu tekong seorang daripada mangsa kejadian bot yang karam selepas dilanggar sebuah tongkang dekat Kuala Kemaman di sini pagi tadi, lapor Berita Harian.
Selain Sharill, turut terkorban dalam tragedi itu ialah Siti Zaminah Mohman Zobini,29, manakala dua lagi mangsa dikenali sebagai, Yusoff Kassam, 66, dan Aina Husna Mohamad Husani, 25, masih hilang.
Roziana berkata, beliau mengetahui kejadian menimpa suaminya menerusi WhatsApp daripada anak saudaranya kira-kira jam 10 pagi.
“Memang terkejut bila dapat tahu kejadian itu tetapi saya tetap berharap dia terselamat, namun sangkaan itu meleset selepas mayat suami ditemukan.
“Masih terngiang-ngiang kata terakhirnya yang memaklumkan akan balik esok. Tak sangka dia memang balik tetapi dalam keadaan yang tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman di sini.
Sementara itu, Siti Hajar, 51,yang juga kakak kepada Shahrill berkata, adiknya yang bekerja sebagai nelayan itu turun ke laut bagi mengantikan rakannya.
“Jika dia ke laut membawa pemancing, biasanya dia akan balik tengah hari tapi tak sangka kejadian ini berlaku.
“Memang sedih dan terkejut kerana ia berlaku tiba-tiba apatah lagi. Arwah akan menyambut hari lahirnya yang ke-50 pada 18 Ogos ini tetapi Allah lebih sayangkan dia,” katanya.
Jenazah Sharill yang juga anak keempat daripada lima beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kuang sebaik selesai bedah siasat. -ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252