GUA MUSANG: Kerajaan Persekutuan akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan kenderaan milik kerajaan termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) digunakan untuk kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Berita Harian melaporkan, timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau turut meminta pihak terbabit mengemukakan bukti bagi memudahkan siasatan dijalankan.
“Jika benar, kemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan tindakan diambil.
“Jangan hanya tuduh kita (BN) sahaja yang menggunakan jentera kerajaan. Bagaimana pula dengan kerajaan Kelantan, saya pasti ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Temu Mata bersama warga Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengerusi KESEDAR , Datuk Zawawi Othman.
Kelmarin, Pengarah Operasi PRK Nenggiri Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa, menerusi hantaran di Facebook miliknya mendakwa kenderaan kerajaan digunakan untuk aktiviti berkempen di PRK Nenggiri.
Annuar turut memaklumkan tindakan itu menyalahi peraturan.- ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252