BERITA UTAMA
Azizul perlu hati-hati taktikal lawan - Amarjit

Azizul perlu hati-hati taktikal lawan – Amarjit

PARIS – Pasukan berbasikal trek negara diketuai Datuk Azizulhasni Awang yang mula memburu pingat Sukan Olimpik Paris 2024 di Saint-Quentin-en-Yvelines hari ini, perlu memberikan perhatian serius terhadap permainan taktikal pelumba pasukan lawan.

Lawan seperti pemenang pingat emas Kejohanan Dunia 13 kali Harrie Lavreysen dan Jeffrey Hoogland dari Belanda, Jack Carlin (Britain), Matthew Glaetzer (Australia) serta pelumba Jepun, Yuta Obara dan Kaiya Ota, masing-masing bukan sahaja memiliki kehebatan fizikal, tetapi juga gerakan dan taktikal, seperti yang digunakan pada perlumbaan akhir keirin lelaki di Olimpik Tokyo 2020.

Strategi seperti peletakan kedudukan, penetapan kelajuan dan pecutan mengejut, boleh menafikan pelumba yang terleka daripada menempatkan diri di podium.

Sesudah terlepas pingat emas di Tokyo 2020, Azizul yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman memikul beban berat pada saat negara masih ternanti-nanti pingat emas sulung Sukan Olimpik.

“Saya sedar akan bebanan ke atas Azizul, yang diharap menghasilkan emas sulung, tetapi sebagai seorang atlet bertaraf dunia, dia mampu menangani tekanan itu,” kata Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh.

“Pasukan sudah membuat persiapan yang baik, dengan latihan beberapa hari di trek Olimpik hingga semalam. Saya rasa mood dalam pasukan berbasikal trek Malaysia ceria dan positif. Mereka teruja untuk memulakan perlumbaan,” katanya.

Pemenang pingat perak keirin Azizul dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan beraksi dalam acara pecut bermula hari ini hingga Jumaat (7-9 Ogos), manakala Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang menyertai Olimpik buat kali pertama akan beraksi dalam acara keirin wanita hari ini dan esok.

Nurul Izzah kemudiannya akan menyertai acara pecut wanita dari Jumaat hingga Ahad, manakala juara dunia keirin 2017 Azizul dan Shah Firdaus akan bersaing dalam acara kegemaran mereka iaitu keirin lelaki, pada Sabtu dan Ahad.

Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berharap kali ini, Shah Firdaus akan menjadi rakan sepasukan yang kuat kepada The Pocket Rocketman, dengan prestasi yang terbaik.

“Nurul Izzah pula saya rasa dia sudah lakukan yang terbaik, sebagai seorang pelumba yang berdisiplin dan saya percaya perjalanannya masih jauh dan seterusnya akan menyertai Sukan Olimpik selepas ini iaitu di Los Angeles 2028, dan seterusnya. Paris akan jadi satu pengalaman dan pendedahan yang baik pada peringkat tertinggi untuknya.

“Saya minta seluruh rakyat Malaysia sama-sama doakan kejayaan untuk pelumba kita di Paris,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *