BERITA UTAMA
Amanah tawaduk terima keputusan PRK Sungai Bakap - Mohamad

DUN Mahkota: Jangan bincang tuntutan kerusi di media, tegas Mat Sabu

KUALA LUMPUR – Ahli akar umbi Parti Amanah Negara (Amanah) dinasihatkan tidak membincangkan isu tuntutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota secara terbuka melalui media.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, isu kerusi DUN Mahkota itu belum dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan.

Justeru, beliau menyeru semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan terutama ahli Amanah memberikan tumpuan penuh kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang sedang dipertandingkan sekarang.

Malah, Mohamad menegaskan, Amanah akan terus komited kepada usaha mengukuhkan perpaduan dalam kalangan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.

“Saya ambil maklum tuntutan kerusi DUN Mahkota oleh akar umbi Amanah yang telah diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, Jumaat lalu.

“Saya menyeru semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan terutama ahli Amanah untuk memberikan tumpuan penuh kepada PRK Nenggiri.

“Amanah terus komtied kepada usaha untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ketua Amanah Kluang, Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain mendesak pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memilih calon parti itu bertanding dalam PRK DUN Mahkota.

Menurut Mohd. Zuhan, ini kerana Amanah Kluang yakin menang selepas membuat kajian dan analisis serta berdasarkan data terkini termasuk sokongan rakyat di kawasan itu.

Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambrose menyifatkan tindakan Amanah menuntut kerusi DUN Mahkota itu sebagai gelojoh dan tamak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK bagi kerusi Dewan Undangan Negeri DUN Mahkota, Johor pada 13 Ogos ini, untuk membincangkan pelaksanaan PRK DUN berkenaan.

Sharifah Azizah, 63, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, pukul 12.32 tengah hari, Jumaat lalu.

Allahyarham yang juga Ketua Wanita UMNO Kluang sejak 1993 hingga kini dan pernah menyandang jawatan Ketua Wanita UMNO Johor (2015-2018).

Sebelum menjadi wakil rakyat DUN Mahkota, Allahyarham merupakan ADUN Penawar, mulai 2018 hingga 2022 lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tahun 2022, Sharifah Azizah memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Taqiuddin Cheman; Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan). – ND

Telegram:  https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *