KUALA LUMPUR – UMNO sudah menyerahkan surat tuntutan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis bagi menuntut ganti rugi serta pampasan RM100 juta kerana menyertai Pas.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika Jailani gagal membuat bayaran tersebut, tindakan susulan akan diambil parti itu.
“Untuk ADUN Rembia, LOD (surat tuntutan) telah dikeluarkan kepada beliau untuk membayar RM100 juta kepada BN (Barisan Nasional),” katanya dalam sidang media di Pusat Daerah Mengundi Jerek sempena PRK Nenggiri.
Memetik laporan FMT, Ahmad Zahid tidak menjelaskan bila surat tuntutan itu dihantar dan berapa lama tempoh diberikan kepada Jailani untuk menjawab tuntutan tersebut.
Pada 31 Julai lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju memulakan proses undang-undang dan menuntut ganti rugi serta pampasan RM100 juta daripada Jailani.
Dalam kenyataan, Setiausaha Agungnya Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia selaras dengan perjanjian dimeterai terhadap wakil rakyat yang meninggalkan dan membelakangi pendirian parti.
Pas pada satu sidang media di Parlimen pada 16 Julai lalu mengumumkan Jailani telah menyertai parti itu selepas diterima sebagai ahli pada Jun 2023.
Jailani menyertai UMNO pada Jun 2021 selepas meninggalkan PKR, dan mempertahankan kerusi DUN Rembia atas tiket BN pada Pilihanraya Negeri Negeri (PRN) tahun sama.
Dalam perkembangan sama, Zahid turut memaklumkan calon BN bagi PRK Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani turut terikat dengan ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta jika menang PRK tersebut.
“Semua calon BN terikat dengan akuan sumpah dan perjanjian untuk tidak meninggalkan parti dan jika meninggalkan parti, bon yang harus dibayar semula adalah bernilai RM100 juta,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252