KUANTAN – Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang yang sedang bertugas cedera selepas dilanggar sebuah lori di Kilometer 194.1 Lebuh raya Pantai Timur (LPT) hala Barat berhampiran Rehat dan Rawat (RnR), di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata dalam kemalangan pada jam 5 petang itu membabitkan pembantu penguat kuasa JPJ Pahang berusia 38 tahun.
Katanya, kemalangan itu membabitkan kenderaan pacuan empat roda iaitu Ford Ranger milik JPJ jdan lori Hino – Rigid yang dipandu lelaki berusia 57 tahun.
“Siasatan awal mendapati, mangsa sedang menjalankan penugasan Op Khas Perdagangan di lorong kiri dengan penutupan lorong berkenaan untuk lencongan masuk ke RnR Gambang.
“Tiba-tiba sebuah lori dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur hilang kawalan lalu melanggar kenderaan pacuan empat roda milik JPJ dan mangsa yang berada di lorong kiri.
“Akibat kemalangan itu, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk mendapatkan rawatan. Mangsa cedera di tangan kiri, tengkuk dan kepala,” katanya dipetik laporan BHNews, hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, siasatan mendapati pemandu lori terbabit mempunyai tujuh saman yang belum dijelaskan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252