Lawatan ke kuil, Perkasa minta Jabatan Agama Islam Perak beri penjelasan

Lawatan ke kuil, Perkasa minta Jabatan Agama Islam Perak beri penjelasan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta Jabatan Agama Islam Perak, berdasarkan nama jabatan disebut dalam video yang tular, menjelaskan kepada umum berhubung dakwaan lawatan rombongannya ke sebuah kuil di ibu kota.

Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, video berdurasi 6:32 saat itu memaparkan rombongan jabatan agama itu diberi penerangan mengenai ibadat penganut Hindu, sekali gus mencetuskan pelbagai persoalan.

Tegas beliau, apa yang mengejutkan, seorang peserta rombongan dalam temubual, menerusi rakaman itu mendakwa ada banyak persamaan antara Islam dengan agama berkenaan, selain berlaku salah faham terhadap mereka selama ini.

“Kami minta pihak berkenaan memberi penjelasan berhubung perkara ini, lebih lagi ada peserta rombongan mendakwa seolah wujud banyak persamaan antara Islam dengan agama lain.

“Perkasa juga ingin bertanya dan mendapatkan penjelasan daripada jabatan agama ini, apakah tujuan mengadakan lawatan ke kuil itu dan apa maksud kenyataan salah seorang pesertanya?

“Untuk apa jabatan agama ini hendak tahu pasal agama lain? Biarlah mereka dengan agama mereka, kita dengan agama kita. Mengapa perlu membazirkan wang membawa rombongan ke kuil di Kuala Lumpur?” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, tular satu rakaman video mengenai satu rombongan melawat sebuah kuil Hindu di Kuala Lumpur.

Lawatan itu mencetuskan kontroversi apabila seorang daripada peserta rombongan memaklumkan, selama ini ada berlaku salah faham kepada penganut agama itu dan mendakwa terdapat banyak persamaan.

Irwan Fahmi menggesa jabatan agama itu mengulang kaji atau memahami Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan persamaan antara agama adalah jelas bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

Kata beliau, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa: undang-undang negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

“Ini jelas termaktub dalam Perlembagaan Negara. Kami mengecam tindakan jabatan agama ini yang cuba membawa agenda pluralisme, iaitu agenda halus untuk samakan agama Islam dengan agama lain.

“Kita harap mereka lebih berhati-hati apabila membuat sesuatu kenyataan mengenai agama kerana bimbang boleh menyimpang dari segi akidah.

“Perkasa juga menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memantau agar tidak terus menjadi ejen kepada agenda pluralisme ini,” ujarnya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *