Masjid Jakim, Jawi anjur solat jenazah ghaib buat Ismail Haniyeh

Masjid Jakim, Jawi anjur solat jenazah ghaib buat Ismail Haniyeh

PUTRAJAYA – Masjid-masjid bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) diarah menganjurkan solat jenazah ghaib buat pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh. 

Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, arahan telah dikeluarkan kepada kedua-dua badan itu.

“Saya kini berada di Kaherah dan arahan telah dibuat.

“Kita dapatkan maklumat dulu. Jika dah dimandikan, saya minta semua Masjid Jakim dan Jawi untuk mengadakan solat ghaib,” katanya di Sinar Harian.

Hamas hari ini mengumumkan pemimpinnya, Ibrahim Haniyeh terbunuh dalam serangan dipercayai berpunca daripada serangan zionis di kediamannya di Tehran.

Ismail berada di Tehran bagi menghadiri majlis angkat sumpah presiden baru Iran Masoud Pezeshkian.

Israel belum mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu.

Bagaimanapun, seorang menterinya Amichay Eliyahu meraikan kematian itu dengan berkata ia “akan menjadikan dunia ini lebih baik”.

Siapa Ismail?

Pada Mei 2017, Hamas yang mentadbir Gaza memilih Ismail Haniyeh, 54, sebagai pemimpin biro politik menggantikan Khaled Meshaal.

Dia lahir di kem pelarian di Gaza selepas ibu bapanya lari dari bandar Asqalan selepas Israel menubuhkan negara pada 1948. 

Ismail merupakan graduan dalam bidang sastera Arab dari Universiti Islam, Gaza.

Pada tahun 1983, di universiti, dia menyertai gerakan Blok Pelajar Islam.

Ismail merengkok dalam penjara Israel pada hujung tahun 1980 dan selamat daripada beberapa cubaan bunuh rejim itu ketika mendaki tangga kepimpinan Hamas.

Awal tahun ini, Israel telah membunuh tiga anaknya dalam serangan di utara Gaza. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *