Hamilton menang GP Belgium selepas Russell batal

Hamilton menang GP Belgium selepas Russell batal

SPA-FRANCORCHAMPS, Belgium – Lewis Hamilton diisytiharkan pemenang Grand Prix Formula Satu (F1) Belgium selepas kemenangan rakan sepasukan Mercedes, George Russell, dibatalkan kerana jenteranya didapati tidak cukup berat.

Ia adalah kemenangan kedua musim ini bagi juara dunia tujuh kali itu selepas kejayaan di Silverstone awal bulan ini, dan yang ke-105 dalam kariernya sebagai pemandu F1.

Kemenangan itu juga adalah yang ketiga bagi Mercedes dalam empat perlumbaan terakhir selepas siri keputusan mengecewakan sepanjang dua tahun lalu.

Pemandu McLaren, Oscar Piastri naik ke tempat kedua dengan Charles Leclerc dari Ferrari menduduki tempat ketiga selepas kemenangan Russell dibatalkan.

Russell, 26, yang bermula dari petak keenam, menampilkan pemanduan cemerlang pada perlumbaan itu dan satu-satunya pelumba yang hanya berhenti sekali di pit untuk menukar tayar pada pusingan ke-34 daripada 44 keseluruhan.

Dia berjaya menghalang Hamilton dan Piastri untuk memenangi perlumbaan itu, yang sepatutnya menjadi kemenangan ketiga baginya.

Bagaimanapun, kegembiraan Russell hanya bertahan seketika selepas laporan teknikal mendapati jentera Mercedes dipandunya kurang 1.5 kilogram daripada berat minimum untuk kereta dan pemandu.

“Kereta 63 dibatalkan daripada perlumbaan. Semua pemandu lain akan naik satu anak tangga,” kata steward selepas perlumbaan.

Kereta Russell pada awalnya menepati berat minimum, 798kg untuk kereta dan pemandu, tetapi steward mendapati tangki bahan api tidak dikosongkan sepenuhnya ketika timbangan dibuat, dan apabila ditimbang semula ia hanyalah 796.5kg.

“Mengecewakan. Kami kurang 1.5kg dan dibatalkan daripada perlumbaan. Saya bangga menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat,” kata Russell.

Pemandu Red Bull, Max Verstappen masih mendahului kejuaraan dengan 277 mata, 78 mengatasi pesaing McLaren, Lando Norris.

Red Bull turut mendahului kejuaraan pengeluar dengan kelebihan 42 mata ke atas McLaren.

F1 akan berehat untuk musim panas sebelum perlumbaan seterusnya di Zandvoort, Belanda pada 25 Ogos. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *