Kerajaan umum RM6 juta peruntukan tambahan untuk bangunkan koperasi

Kerajaan umum RM6 juta peruntukan tambahan untuk bangunkan koperasi

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM6 juta untuk merancakkan pembangunan koperasi bagi mengiktiraf sumbangan mereka kepada ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dana itu akan disalurkan melalui Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang akan melibatkan pelbagai inisiatif.

AWANI melaporkan, sebanyak RM2 juta akan diperuntukkan kepada Angkasa menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan RM2 juta lagi daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

Perdana Menteri turut mengumumkan RM1 juta disalurkan kepada angkatan koperasi itu bagi program ASEAN Cooperative sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025.

Selain itu, RM500,000 diperuntukkan kepada koperasi masjid di desa dan lagi RM500,000 disediakan untuk latihan bagi meningkatkan kompetensi pengendali koperasi di desa.

“Saya akan minta Tan Sri KSN (Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali) bantu untuk menyelaraskan supaya saluran itu cepat.

“Saya tak mahu Perdana Menteri umum pada 26 Julai, kemudian akhir tahun belum ada apa-apa. Saya tak mahu ini.

“Ini Kerajaan Madani…kerana ada pernah berlaku, kita umum, betul dipersetujui tapi dibuat secara biasa.

“Jadi KSN dengar, saya nak hari ini umum, hari Rabu saya sahkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan hari Jumaat, gerakan dah bermula.

“Saya bagi dua minggu keputusan muktamad, dalam masa satu bulan dana disalurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Jumaat.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Timbalannya, Datuk R Ramanan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju untuk meminda beberapa peruntukan undang-undang bagi menjadikan koperasi sebagai entiti perniagaan.

Menurutnya, Jabatan Peguam Negara sedang menyiapkan draf cadangan tersebut dan selepas semuanya selesai, ia akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

“Soal undang-undang Menteri Ewon Benedick beritahu sudah ada kerangka awal dan dalam tempoh dua bulan akan datang apabila disiapkan oleh Jabatan Peguam Negara, dibawa ke Jemaah Menteri untuk diluluskan.

“Saya percaya, melihat prestasi mereka.. itu boleh disegerakan,” katanya.

Syor pindaan kepada undang-undang itu antara resolusi dipersetujui Kongres Koperasi Kebangsaan 2024.

Ia dibangkitkan selepas terdapat beberapa akta sedia ada dilihat mengekang gerakan koperasi dalam menjalankan perniagaannya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *