Siri Ke-24: Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang

Siri Ke-24: Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang

BAGI mengekalkan hasrat untuk menubuhkan sebuah pertubuhan yang menggunakan nama Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Kak Lah telah membuat satu permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Kelantan (RoS Kelantan) untuk menubuhkan Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia pada akhir tahun 2012.

Permohonan itu telah diluluskan secara rasmi pada 29 Januari 2013. Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia bertindak sebagai pertubuhan yang taat kepada raja dan pemerintah serta akan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu, sekali gus mempertahankan orang Melayu dan agama Islam.

Pengertian logo pertubuhan ini sama seperti Kelab Bumi Rahmat, yang meletakkan segala unsur dan pengertian imej-imej yang terdapat di dalamnya. Ini termasuklah makna tanah, pokok, padi, mahkota kijang, langit, air, bumi, warna merah mengelilingi bulatan, keris dan lembing.

Lambang agama Islam terletak paling tinggi di atas mahkota sebagai tanda agama Islam ialah agama junjungan warisan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang. Pasi yang berwarna hijau itu ialah lambang nadi hidup bangsa Melayu. Warna kuning ialah lambang warna diraja yang menggambarkan sokongan persatuan ini kepada institusi raja sebagai teras tamadun Melayu. Logo ini sangat cantik kerana keindahan segala warisan itu terkumpul bersatu di dalamnya.

Selepas mendapat kelulusan pendaftaran RoS, Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia itu, satu majlis doa selamat dan kesyukuran telah diadakan di Kolam Tanah Serendah Sekebun Bunga, Kampung Kedai Piah, Ketereh. Tujuan majlis ini adalah untuk menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT yang telah memudahkan segala usaha untuk mengenang dan memperingati serta mengumpulkan keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang yang telah meninggalkan legasinya yang hebat.

Kak Lah telah membina sebuah wakaf untuk para pengunjung berehat di tepi kolam itu. Kak Lah juga meminta seorang penjaga untuk menjaga kebersihan dan kawasan tersebut. Ini bagi mengelakkan perbuatan yang kurang elok berlaku di kawasan itu.

Penyerahan Sebongkah Deklarasi Keamanan

Satu daripada aktiviti Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang (PKPRCSWK) ialah menjalin keamanan serantau. Inilah pesanan Mak Bonda yang selalu diingati oleh Kak Lah. Bagi Mak Bonda, manusia ini dijadikan daripada Nabi Adam dan Hawa. Mereka dikelompokkan dalam warna kulit yang berbeza dan kebolehan yang berbeza.

Mereka sepatutnya bekerjasama menjalin silaturahim supaya dunia menjadi aman damai untuk didiami. Inilah cuba dilaksanakan oleh PKPRCSWK. Ini juga satu cara untuk Kak Lah memperkenalkan pertubuhan ini dan juga kepimpinannya. Dengan ini juga keamanan ialah modus operandi pertubuhan ini. Ini kerana persahabatan yang dihulurkan tidak terbatas kerana agama, bangsa atau pun warna kulit.

Dokumen Deklarasi Keamanan itu terdiri daripada beberapa dokumen yang berkaitan sebagaimana berikut:

*Kronologi (Dr) Fadzillah binti Hussin

*Perlembagaan Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia

*Perlembagaan Kelab Bumi Rahmat Kelantan

*Perjanjian Bangkok 1909

*Profil Kelab Bumi Rahmat Kelantan

*Laporan Majlis Penyerahan Deklarasi Keamanan kepada Sami Lim Meng Swee yang disampaikan oleh (Dr) Fadzillah

*Laporan “Kertas Cadangan Akta untuk dibahaskan”

*Laporan Penyerahan Deklarasi Keamanan kepada Duta Thailand di Kelantan untuk disampaikan kepada Raja Thailand.

Pada 18 Mei 2013, di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, Kelantan, PKPRCSWK telah menganjurkan majlis Simbolik Penyerahan Sebongkah Deklarasi Keamanan oleh Kak Lah kepada Sifu Lim Meng Swee, Ketua Sami Persatuan Penganut Dewi Chun Tee Fo Ker untuk disampaikan kepada Raja Thailand.

Dalam majlis tersebut telah berlaku keanehan semasa Kak Lah berucap iaitu lain dari biasa. Kak Lah telah berucap menggunakan bahasa istana lama dan membahasakan dirinya “Beta”. Kak Lah berucap dalam keadaan sedih, menangis dan kecewa. Dia berasa sangat kecewa dengan keadaan yang menimpa empat wilayah di Selatan Thailand iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla yang sedang bergolak, yang dikatakan di situlah tempat asal keturunannya.

Kesedihannya itu dapat dirasakan oleh setiap mereka yang hadir. Ada yang tidak dapat menahan air mata terharu menutus membahasi pipi. Yang lain tunduk terharu mengenang kebenaran kata-kata Kak Lah.

Sifu Lim Meng Swee turut memaklumkan bahawa beliau telah bermimpi didatangi oleh seorang puteri raja yang meminta beliau membantu menyelesaikan permasalahan dan pergolakan yang sedang berlaku di empat wilayah Selatan Thailand itu. Sifu Lim telah bersetuju untuk membantu dan Tuan Puteri itu meminta agar Sifu Lim menandatangani perjanjian persetujuan tersebut.

Inilah yang menyebabkan Sifu Lim datang menghulurkan kerjasamanya untuk menjadi wakil PKPRCSWK, untuk menyampaikan rasa persahabatan dan seruan keamanan kepada pemerintah Thailand yang diharapkan dapat menjadi pelindung kepada kesejahteraan masyarakat Islam di daerah-daerah tersebut.

Inilah harapan Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang yang sebenarnya. Mak Bonda pernah berkata kepada Kak Lah, “Kalau mu bijak sangat, mu gi ambil balik empat wilayah nuh”. Bukan mudah untuk Kak Lah merombak sistem politik yang ada. Harapan Mak Bonda secara jujurnya tidak akan dapat dilaksanakan. Namun, bagi menyampaikan hasrat itu secara tersirat, Kak Lah telah menjalankan pendekatan “bagai menarik rambut dalam tepung, tepung jangan berselerak”.

Bagi menunaikan amanah dan wasiat Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, Kak Lah telah menyediakan satu Deklarasi Keamanan. Dalam proses penyediaan dokumen deklarasi, beberapa petunjuk, pedoman dan garis panduan diperoleh dalam usaha memperkemas Deklarasi Keamanan itu.

Dokumen Deklarasi Keamanan yang disediakan telah diserahkan kepada Raja Thailand sebagai satu petanda pencinta keamanan yang ikhlas daripada Kak Lah dan pertubuhannya.

Penyerahan Deklarasi Keamanan empat Wilayah Selatan Thailand itu telah dilaksanakan pada 13 Jun 2013 hari Khamis jam 10.30 pagi oleh Kak Lah merangkap Seri Nara Utama Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, iaitu Yang Dipertua PKPRCSWKM, diiringi beberapa Ahli Jawatankuasa pertubuhan kepada Konsul Thailand di Pejabat Kedutaan Thailand di Kelantan iaitu Encik Pongsak Thepruangchai pada jam 10.30 pagi.

PKPRCSWK diwakili oleh Kak Lah selaku Yang Dipertua, Puan Zulaini binti Che Hasan (Setiausaha Agung Pertubuhan), Puan Hamidah (Penolong Setiausaha Pertubuhan) dan Puan Noatiqi (Bendahari Pertubuhan).

Pihak PKPRCSWK juga telah menghantar Salinan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan sembilan Raja-Raja Melayu sebagai tanda bahawa tanda PKPRCSWK ialah pertubuhan yang membela Institusi Raja di Malaysia dan sanggup meletakkan seluruh kesetiaannya tanpa ada keraguan walaupun sebesar hama.

Pertubuhan ini tidak berniat untuk merampas mana-mana takhta kerana niatnya semata-mata untuk menjaga warisan bangsa termasuklah institusi raja itu sendiri. Apa yang diharapkan, Bongkah Deklarasi Keamanan itu akan menjadi simbol kepercayaan terhadap kepimpinan raja yang adil dan saksama demi kelangsungan tamadun Melayu itu sendiri.

Bongkah Deklarasi Keamanan itu juga diserahkan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, dan Pengarah Pendaftaran Pertubuhan Negeri Kelantan.

Tujuan penyerahan itu sebagai bukti kepada pihak-pihak berwajib terhadap perjuangan PKPRCSWK, yang bekerja untuk keamanan dunia dan masyarakat. Sebagai sebuah NGO yang ikhlas bekerja untuk memelihara warisan bangsa, PKPRCSWK tidaklah akan mensia-siakan perjuangannya untuk menjaga kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu. Mereka sepatutnya tidak berasa ragu terhadap pertubuhan ini. Pihak berwajib patut menyokong dan memberikan galakan untuk perjuangan warisan ini.

Pelaksanaan misi penyerahan Salinan Sebongkah Deklarasi Keamanan itu bermula pada 2 hingga 4 Julai 2013 dengan kerjasama tidak AJK PKPRCSWK Malaysia turun membuat serahan tangan.

Dengan kerjasama semua pihak diharap penyerahan Deklarasi Keamanan itu, yang dibuat selaras dengan amanah dan wasiat oleh Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang kepada Kak Lah selaku pemegang amanah akhir Ilmu Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, akan dapat membantu usaha mencari keamanan di empat wilayah Selatan Thailand itu.

Apa yang penting dalam hal ini ialah Kak Lah telah dapat menjalankan tanggungjawab untuk menunaikan amanah ini tanpa melibatkan kepentingan diri. Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang amat menginginkan keamanan di empat wilayah tersebut memandangkan di situlah tempat asal usul keturunan baginda dan masih ramai lagi menetap di sana. Keselamatan mereka untuk jangka panjang amat penting sekali.

Bicara Penerbitan Sebuah Buku Sejarah Warisan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang

Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang juga telah berusaha menerbitkan sebuah buku bagi menceritakan semua pengalaman yang dilalui oleh Kak Lah sepanjang hidupnya, terutama selepas bertemu Mak Bonda, yang mana segala pesanan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang iaitu Raja Perempuan Kelantan yang pertama telah disampaikan kepadanya.

Di samping itu juga, Kak Lah sering mendapat mimpi yang kebanyakannya menjadi kenyataan dalam hidupnya. Perkara itu mendorong Kak Lah untuk memaparkannya kepada orang ramai supaya dapat difikirkan bersama.

Malah, yang lebih utama Kak Lah dapat bercerita semula perjuangan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang dan kemendirian seorang wanita yang tabah dan terus mengabdikan diri kepada kebenaran dan kasih sayang kepada agama Islam dan tanah airnya. Semua semangat dan warisan itu disalurkan kepada Kak Lah untuk dilaksanakan.

Usaha Kak Lah melalui Kelab Bumi Rahmat untuk membaiki nasib masyarakat miskin melalui mikro kredit, telah dapat dijalankan. Manakala dengan Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan kembang ini pula, warisan dan pusaka tindakan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang akan dapat dipelihara dan diingati oleh keturunannya hari ini.

Perbincangan untuk menerbitkan kepentingan perjuang Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang ini dan warisan ilmu yang telah diturunkan kepada Kak Lah, telah dilakukan secara kumpulan bagi mendapatkan pandangan mereka yang terlibat sama ada sebagai anggota keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang ataupun pengkaji kebudayaan dan sejarah Kelantan.

Antara mereka yang telah memberikan pendapat yang bernas mengenai penghasilan sebuah buku ini termasukkan Encik Siri Neng Buah, yang merupakan Penasihat Kehormat Sejarah kepada Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia. Beliau penerima Anugerah Tokoh Warisan Orang Hidup Negara Malaysia dan bekas Pengarah Jabatan Warisan Negara.

Dengan latar belakang ini beliau mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas mengenai warisan budaya masyarakat Siam dan Melayu di negara ini. Ini jelas terserlah dalam perbicaraannya. Beliau menyokong penuh penghasilan dan penerbitan buku tersebut.

Turut sama menjadi pembicara mengenai penerbitan buku itu ialah YM Dr. Engku Ibrahim bin Engku Ismail, Pengerusi Ahli Lembaga Adat dan Penasihat Sejarah kepada Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia. Beliau ialah seorang bekas pensyarah Jabatan Pengajian Islam Universiti Malaya.

Beliau juga mantan Presiden Pertubuhan Kerabat Long Ghaffar Kelantan, kerabat diraja yang pernah memerintah Kelantan. Sebagai seorang ahli akademik berpendidikan Islam, YM Engku Ibrahim dapat menilai kepentingan peranan keturunan diraja dalam menjaga warisan bangsa.

Seorang pembicara yang lain ialah Sifu Lim Meng Swee. Beliau telah dilantik sebagai Penasihat kepada Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia. Penglibatan beliau dalam pertubuhan ini akan dapat menunjukkan penglibatan semua kaum dalam menegakkan warisan tamadun Malaysia.

Walaupun beliau berlainan agama, tetapi harus ingat agama Buddha-Hindu pernah menjadi agama anutan orang melayu pada zaman dahulu seperti apa yang pernah dilalui oleh Adruja Wijayamala Singha.

Beliau dapat melihat kepentingan sejarah dan tamadun yang saling berlaku secara evolusi terhadap semua bangsa. Kerjasama antara bangs aitu adalah perlu untuk melahirkan keharmonian sesama manusia di muka bumi ini. Beliau tentunya menyokong usaha untuk menerbitkan sebuah buku seperti yang diharapkan oleh pertubuhan ini.

Panel terakhir dalam perbincangan itu ialah Kak Lah sendiri. Beliau merupakan pemenang amanah dan wasiat serta pewaris akhir ilmu Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang. Kak Lah merupakan Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia dan Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat Kelantan.

Usaha untuk menghasilkan sebuah buku mengenai perjuangan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang ini memang telah menjadi impian Kak Lah sejak lama dahulu. Dia telah mengumpulkan segala maklumat yang ada demi menyiapkan buku ini. Beliau cuba mengarangnya. Namun, beliau bukanlah seorang yang dilahirkan dengan kebolehan itu.

Kak Lah telah meminta beberapa orang menulisnya. Baginya, projek penulisan buku perjuangan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang dan warisan yang ditinggalkan kepadanya patut dikongsi oleh semua pihak terutama keturunannya. Ini kerana Kak Lah pewaris terakhir ilmu tersebut.

Bagi Kak Lah untuk mendapat ilmu itu, bukanlah suatu yang mudah. Pelbagai rintangan dan cabaran terpaksa dilaluinya. Penderitaan jiwa dan emosi sering melingkari hidupnya. Ramai yang tidak percaya dan ramai juga yang cemburu padanya. Namun, Kak Lah telah dipilih. Dengan bertawakal kepada Allah, Kak Lah menempuh semua rintangan dan cubaan dengan penuh kesabaran.

Akhirnya setelah bergelut dengan segala masalah selama 23 tahun, Kak Lah yakin kebenaran ilmu yang diwarisinya. Dengan itu, baginya buku yang akan ditulis itu akan memberi faedah kepada keturunannya dan generasi akan datang. Dokumentasi segala peristiwa yang dilalui akan menjadi panduan dan pengekalan warisan ilmu dan tamadun bangnsa serta tanah airnya.

Semua panel bersetuju dengan perancangan untuk menerbitkan sebuah buku yang dimaksudkan itu. Maka, bermulalah perancangan untuk menulisnya. Kak Lah telah meminta Puan Zulaini dan seorang penulis untuk memulakannya pada Mac 2013. Hampir setahun sebuah draf berjaya dihasilkan. Seorang penulis lain pula telah membantu penulisan draf itu.

Pada suatu malam, Kak Lah bermimpi melihat seorang tokoh sejarah negara, yang pernah dikenalinya, sedang memasukkan buku itu dalam sampulnya di bawah sepohon pokok rendang. Kulit buku itu berwarna coklat dan penulis itu memakai baju berwarna biru. Maka, pada firasat Kak Lah, tokoh itu boleh membantunya melahirkan buku yang diharapkan.

Pada Mei 2014, Kak Lah dan rombongannya berjumpa dengan tokoh tersebut dan menyatakan hasratnya. Tokoh itu, yang menjadi Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dengan senang hati telah menerima catatan asas itu dan berjanji membantu menghasilkan buku tersebut. Sejak itu, hubungan Kak Lah dan tokoh itu yang telah terputus sejak 10 tahun lalu, kini bertaut kembali. Kuasa Allah tidak siapa yang tahu. Segala-galanya dalam perancangan-Nya belaka.

Membuat laporan polis kerana menghina Institusi Raja

PKPRCSWKM turut tampil membuat laporan meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas seorang individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong. PKPRCSWKM mencadangkan supaya Akta Pusaka Raja-Raja Melayu dapat diwujudkan bagi mempertahankan isu kalimah Allah yang sebelum ini dieksploitasi oleh golongan bukan Islam. PKPRCSWKM turut mencadangkan supaya beberapa akta itu dikaji dan ditambah.

PKPRCSWKM telah melihat penghinaan terhadap institusi raja oleh sesetengah rakyat Malaysia sangat keterlaluan. Mereka langsung tidak menghormati taraf institusi raja yang sangat tinggi dalam Perlembagaan Persekutuan dan negara. Kedudukan institusi raja sebagai Raja Berperlembagaan adalah satu sistem pemerintahan yang telah berlangsung sejak kemerdekaan negara.

Ini adalah satu perkara yang telah termaktub dalam tamadun bangsa Melayu sejak beratus tahun dahulu. Dengan menggunakan konsep Raja Mutlak, institusi itu menjadi tonggak kepada pertumbuhan dan kelangsungan kerajaan-kerajaan Melayu yang bertaburan di seluruh Alam Melayu.

Pemodenan pemerintah melalui campur tangan luar telah mengubah kedudukan Raja-Raja Melayu. Mereka dengan sukarela mengurangkan kuasa dan menerima kedudukan sebagai Raja Berperlembagaan. Ini bermakna semua kuasa dan tindakan Raja-Raja Melayu ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan negeri.

Tolak ansur Raja-Raja Melayu ini sepatutnya dihargai oleh rakyat yang pada hari ini ditadbir oleh kerajaan yang terbentuk hasil daripada kemenangan parti politik dalam pilihan raya umum setiap lima tahun sekali. Raja-Raja Melayu kemudian melantik Menteri Besar dan Perdana Menteri untuk menguruskan pentadbiran negeri dan negara, seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan negeri.

Ini bermakna Raja-Raja Melayu tetap menjadi ketua utama kepada negeri dan Persekutuan, walaupun pentadbiran harian dijalankan oleh mereka yang menang dalam pilihan raya, tetapi tetap dilantik oleh Raja-Raja Melayu. Ini juga bermakna, rakyat Malaysia masih lagi bertuankan Raja-Raja Melayu di peringkat Persekutuan dan negeri. Mereka adalah sebahagian daripada pemerintahan. Maka, tidak wajar mereka dicemuh dan dihina oleh rakyat.

PKPRCSWKM dengan itu tidak bersetuju dengan perbuatan menghina dan menderhaka kepada Raja-Raja Melayu. Bagi pertubuhan ini, perbuatan itu mesti dihentikan kerana bertentangan dengan perlembagaan, adat istiadat dan kebiasaan masyarakat negara ini.

Institusi raja juga bukanlah baharu; malah telah ada lebih awal daripada pemodenan pentadbiran barat yang diperkenalkan di Malaysia. Malah, semua pihak terutama British menerima dan mengekalkan institusi itu sebagai pemerintah negeri-negeri dan negara sejak dahulu.

Jika rakyat sentiasa merujuk kepada pihak barat sebagai bertamadun dan sumber pemodenan, maka pengiktirafan barat terhadap institusi raja sebagai pemerintah, patutlah diterima tanpa berbelah bahagi. Sebenarnya, pemodenan di Malaysia juga menerima unsure lama atau tradisional sebagai sebahagian daripada sistem pemerintahan negara. Jadi, bantahan pertubuhan kepada perbuatan menderhaka kepada raja adalah satu perkara yang berasas dan kena dengan perjuangannya. – NasionalDaily

Bersambung

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *