Pengasuh dera bayi 2 bulan sampai patah kaki

Pengasuh dera bayi 2 bulan sampai patah kaki

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang pengasuh bagi membantu siasatan kes seorang bayi perempuan berusia dua bulan yang disyaki didera hingga patah kaki kiri di Bandar Dato Onn.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pengasuh wanita berusia 36 tahun itu direman selama enam hari bermula semalam hingga Ahad ini.

“Polis menahan pengasuh itu selepas ibu bapa bayi berkenaan membuat laporan petang Ahad lalu.

“Kes disiasat menerusi Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sebelum itu, tular di media sosial perkongsian ibu bayi berkenaan yang menyedari ada yang tidak kena dengan anaknya selepas mengambilnya pada Sabtu lalu.

Dakwanya, ketika hendak menukar lampin, bapa mangsa ternampak kesan bengkak pada paha kiri, selain anaknya tidak aktif seperti kurang minum susu.

Beliau kemudian membawa anaknya ke sebuah klinik untuk pemeriksaan sebelum dirujuk ke hospital kerajaan.

Bagaimanapun, ketika ibu bapa bayi itu menghubungi pengasuh untuk bertanyakan mengenai sebarang kejadian menimpa anaknya, dia memaklumkan tiada apa-apa yang berlaku terhadap bayi berkenaan.  – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *