Kak Lah mengurus Kelab Bumi Rahmat

Siri Ke-22: Kelab Bumi Rahmat

SEBELUM menubuhkan Kelab Bumi Rahmat, kehidupan Kak Lah sentiasa berada dalam keadaan runcing kerana pelbagai perniagaan diceburinya tidak menghasilkan sebarang kejayaan. Maka, jiwa dan hati beliau bertambah binggung dan keliru. Justeru, Kak Lah sentiasa pergi ke rumah Mak Bonda untuk mencari ketenangan.

Mak Bonda telah memberikan bacaan doa dan menyuruh Kak Lah mengamalkannya selama 40 hari. Kak Lah telah mengamalkan doa tersebut sebagaimana diminta Mak Bonda. Pada hari terakhir, iaitu hari ke-40, Kak Lah bermimpi sebiji bumi keluar seperti buih putih dan di dalamnya terdapat imej seperti pokok kelapa, manusia, langit, tanah, air, api, bulan dan matahari dengan disaluti darah di sekelilingnya.

Esoknya, Kak Lah beritahu kepada Mak Bonda berkenaan mimpi itu dan Mak Bonda terus mengatakan, “Buat hak mu sendiri”.

Kelab Bumi Rahmat Kelantan Darul Naim

Setelah memahami dan menyedari badan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan sukarela memerlukan pengorbanan ikhlas dan komitmen yang tinggi, Kak Lah mengambil keputusan menubuhkan sebuah kesatuan bukan kerajaan agar mendapat rahmat dan diberkati Allah.

NGO itu diberi nama Kelab Bumi Rahmat Kelantan dan diluluskan pendaftarannya pada 29 Oktober 2001. Pada peringkat awal pendaftaran Kelab Bumi Rahmat itu, adiknya, Azhar dan beberapa rakan turut terlibat iaitu Puan Maimun Abdullah dan Puan Wan Marzida binti Dato’ Wan Omar.

Kelab Bumi Rahmat diwujudkan hasil daripada perintah ilmu Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang kepada Kak Lah agar dapat menunaikan kebajikan dan persaudaraan sesama umat Islam.

Keterangan dan Definisi Logo Kelab Bumi Rahmat

Logo Bumi Rahmat berbentuk bulat mengandungi perkataan “Kelab Bumi Rahmat” di bahagian atas dan perkataan “Kelantan Darul Naim” di bahagian bawah. Bulatan itu dikelilingi warna merah seperti darah dengan gambar dua batang pokok kelapa, tanah, lautan, awan serta tiga bentuk manusia bergandingan tangan berlatar belakangkan matahari.

Keseluruhan logo Kelab Bumi Rahmat berbentuk bulat yang melambangkan bumi dengan empat unsur utama bergabung sama. Unsur itu ialah:

Tanah

Digambarkan melalui keseluruhan bentuk bulat logo seperti bumi, iaitu unsur sebenar tanah, yang bermaksud “manusia asalnya dari tanah dan kepada tanah juga dikembalikan”. Logo itu juga bermaksud segala punca rezeki, punca ilmu dan perpaduan serta kekuatan itu adalah berteraskan tanah. Tanah ialah unsur penting dalam kehidupan manusia dan bumi ini.

Air

Digambarkan dalam lukisan lautan. Sifat air itu sendiri membawa maksud punca ketenangan atau penyelesaian, kebersihan (jujur dan ikhlas), rezeki, kedamaian, kesejahteraan dan kekuatan. Lukisan lautan dipilih kerana laut melambangkan juga rintangan yang ada dalam apa sahaja usaha. Ertinya, bukan mudah untuk mencapai sesuatu kejayaan tanpa kerja kuat serta disiplin.

Api

Api digambarkan melalui lukisan matahari di belakang objek manusia. Matahari merupakan unsur sebenar api. Sifat api itu sendiri jelas membawa maksud punca kekuatan, pencetus semangat, pemberi cahaya penyelesaian serta keyakinan diri dalam menjalankan segala usaha.

Angin

Angin digambarkan dari keseluruhan lukisan suasana alam di tepi pantai. Angin yang membawa maksud usaha tanpa batasan dengan diiringi kekuatan, kesabaran dan semangat juang yang gigih tanpa mengenal erti jemu dan putus asa. Angin juga membawa maksud kemahuan yang sihat dan positif.

Pokok Kelapa

Pokok kelapa dalam reka bentuk logo Kelab Bumi Rahmat juga mempunyai lukisan pokok kelapa yang menjadi lambang serba guna. Ini dilambangkan dengan sifat berdikari, teguh, amanah, setia, ikhlas serta sedia berkorban. Pokok kelapa ini membawa maksud kelab ini diwujudkan untuk memberi khidmat kepada semua pihak, tidak kira di mana sahaja mereka berada dan akan berguna kepada setiap lapisan masyarakat.

Rumput

Lukisan rumput pula melambangkan sokongan yang perlu daripada pelbagai pihak untuk menceriakan lagi suasana dalam menjayakan segala usaha Kelab Bumi Rahmat, demi mencapai hasrat dan matlamat kelab, selaras dengan matlamat negara.

Manusia

Lukisan tiga bentuk manusia bergandingan tangan melambangkan tiga kaum utama di Malaysia Barat. Ini bermaksud perpaduan saling memerlukan antara satu sama lain. Ini punca kejayaan untuk kehidupan yang makmur. Lukisan ini juga membawa maksud matlamat Kelab Bumi Rahmat untuk menyatupadukan masyarakat Malaysia.

Warna Merah di sekeliling bulatan

Keseluruhan logo dikelilingi warna merah bagi melambangkan semangat yang berkobar-kobar untuk memajukan diri dan bangsa. Semangat yang tinggi dalam menjayakan matlamat kelab perlu ada dalam diri setiap ahli serta semua yang terlibat ketika melibatkan diri dalam aktiviti kelab.

Warna Kuning

Warna kuning melambangkan kesetiaan kepada raja dan negara. Institusi raja adalah paksi tamadun bangsa Melayu; Tanpa raja, orang Melayu tidak akan muncul sebagai suatu bangsa yang berdaulat dan disegani. Raja ialah pelindung dan penjaga tanah air, bangsa Melayu dan agama Islam. Inilah amanah Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang kepada generasi hari ini.

Warna Biru

Melambangkan perpaduan dan keharmonian kehidupan sejagat seperti kehendak manusia yang sentiasa mendambakan kasih sayang di sepanjang hidupnya.

Warna Putih

Melambangkan kebersihan, iaitu seseorang itu seharusnya sentiasa mempunyai hati, jiwa serta niat yang baik dan murni.

Tulisan Kelantan

Tulisan Kelab Bumi Rahmat Kelantan Darul Naim mengelilingi lukisan melambangkan kelab ini ditubuhkan di negeri Kelantan.

Seterusnya, segala perkara yang dipaparkan menerusi logo ini adalah untuk memberikan gambaran kepada semua, bahawa kelab ini ditubuhkan dari niat yang ikhlas untuk memberi khidmat kepada semua, terutama rakyat negeri Kelantan, Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Sokongan murni serta taat setia tanpa niat yang negatif harus ada di dalam diri mereka yang mahu melibatkan diri dalam kelab ini.

Matlamat dan Objektif Kelab Bumi Rahmat Kelantan

1.Bertindak sebagai kelab yang taat kepada raja dan pemerintah dan penyokong kepada dasar kerajaan Malaysia, dengan mengadakan kerjasama dengan mana-mana individu, syarikat swasta, agensi, jabatan dan kementerian kerajaan dalam menjayakan matlamat kerajaan mencapai Wawasan 2020. Dengan memberikan perkhidmatan dan bantuan terbaik kepada golongan sasaran, terutama wanita. Tidak ketinggalan juga kerjasama dengan mana-mana NGO termasuk pertubuhan politik yang mempunyai matlamat yang sama dengan Kelab Bumi Rahmat.

2.Mendokong segala dasar kebudayaan, kesenian dan warisan kebangsaan Malaysia.

3.Kelab Bumi Rahmat juga berfungsi sebagai Pusat Perkembangan Ekonomi Keluarga.

4.Memastikan mutu perkhidmatan kelab kepada ahli dan masyarakat sentiasa meningkat.

5.Menjadi satu pusat yang memberikan pinjaman perniagaan kepada ahli-ahli.

6.Menyediakan pejabat penyelaras di setiap Parlimen negeri Kelantan bagi memudahkan ahli serta orang ramai berurusan dengan kelab.

7.Menjadi perantara kepada syarikat swasta bagi memenuhi tanggungjawab sosial syarikat terbabit terhadap masyarakat terutama golongan yang kurang bernasib baik, dengan mengadakan kerjasama jitu dengan kelab.

8.Untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara sesama manusia serta memupuk semangat kerjasama dan muhibah dalam kalangan ahli dan masyarakat negeri Kelantan.

9.Untuk merancang, melaksanakan dan bekerjasama atau bergabung tenaga dengan pertubuhan lain dan syarikat swasta yang mempunyai tujuan sama untuk menjayakan segala aktiviti berkaitan pelajaran, pembangunan, ekonomi, sosial/sukan, keagamaan dan sebagainya agar dapat membantu mengaktifkan sesama NGO.

10.Menyediakan kemudahan-kemudahan yang difikirkan sesuai untuk kegunaan ahli serta orang ramai seperti kemudahan kesihatan (pusat homodialisis), gymnasium, kafe siber dan gelanggang sukan.

11.Menganjurkan aktiviti sukan seperti larian amal, pertandingan bola sepak, bola jaring dan sukan rakyat, sesuai dengan dasar kerajaan yang mahukan rakyat yang sihat dan cergas.

12.Membimbing ahli dan masyarakat untuk menceburi bidang perniagaan dengan mengadakan aktiviti perniagaan bagi meningkatkan pencapaian ekonomi, terutama dalam bidang peruncitan, harta tanah dan lain-lain bidang yang dapat memberi manfaat optimum kepada rakyat dan negara dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan.

13.Menyediakan laman web kelab serta kursus berkenaan teknologi maklumat, sesuai dengan matlamat kerajaan dalam meningkatkan lagi pengetahuan ICT di kalangan rakyat.

14.Untuk menanamkan semangat jati diri, daya usaha, pemikiran sihat, hasrat dan cita-cita yang jitu dan kental serta mempunyai sifat-sifat kerohaniah dan jasmaniah, dunia dan akhirat untuk setiap rakyat.

15.Membantu menggiatkan dan meningkatkan mutu Pelajaran kepada anak bangsa seperti menyediakan kelas tambahan dan kelas bimbingan kanak-kanak.

16.Menyediakan rumah perlindungan sementara kepada mereka yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, ibu Tunggal, anak yatim dan remaja bermasalah serta menjalankan aktiviti kebajikan.

17.Menyediakan peluang bagi perkembangan motivasi ahli seperti menganjurkan kursus, seminar dan latihan bagi meningkatkan taraf hidup ahli dalam semua bidang, terutama perniagaan, termasuk meningkatkan pengetahuan agama dengan mengadakan Kelas Fardu Kifayah dengan kerjasama mereka yang pakar dalam bidang masing-masing.

18.Mengemaskini segala usaha dan gerak langkah dalam bentuk jangka pendek dan jangka panjang sehingga ke peringkat memiliki hartanah, bangunan dan sebagainya.

19.Mengusahakan dan membangunkan aktiviti yang berprestij, global dan menekankan kaedah terkini serta kehendak semasa.

20.Memastikan segala aktiviti kelab mempunyai unsur mendidik yang membawa kepada kebaikan mpunyai unsur mendidik yang membawa kepada kebaikan dan kesejahteraan ummah.

21.Menubuhkan sebuah syarikat untuk menjalankan projek khas di bawah Kelab Bumi Rahmat untuk menguruskan pengurusan kelab dan kewangan kelab demi menjaga kepentingan dan kebajikan kelab.

22.Menubuhkan tabung khas untuk membantu ahli dan mereka yang memerlukan bantuan segera seperti bantuan perubatan dan pendidikan.

23.Mengumpul derma dan mendapatkan penaja dari orang awam dan syarikat swasta mengikut kehendak semasa kelab, dengan persetujuan pihak berkuasa tertentu yang terlibat, bertujuan menambahkan tabung kewangan dengan cara yang tidak bercanggah dengan undang-undang negara. Semua wang dan keuntungan yang didapati oleh kelab ini hasil daripada penyertaannya dalam mana-mana perniagaan yang akan digunakan semata-mata untuk melanjutkan apa juga kelebihan tersendiri.

Semua objektif ini menunjukkan niat, cita-cita dan harapan Kelab Bumi Rahmat untuk memajukan pembangunan kehidupan rakyat Kelantan, terutama kaum wanita. Dengan bantuan modal daripada kerajaan pusat dengan dikendalikan oleh kelab ini, kaum wanita dan lelaki dapat membuat usaha kecil membangunkan kehidupan mereka ke tingkat lebih baik.

Bagaimanapun, bantuan dan kerja Kelab Bumi Rahmat ini tidaklah boleh menjadikan seseorang itu kaya atau senang jika mereka yang dibantu itu tidak Ikhlas menggunakan bantuan itu untuk kebaikan hidup mereka sendiri. Kelab Bumi Rahmat juga tidak akan bergerak cergas jika ahlinya tidak bekerja keras untuk menjalankan aktiviti sosial yang membantu mereka.

Semua harapan dan matlamat Kelab Bumi Rahmat pimpinan Kak Lah itu tidak akan berjaya jika tidak didokong oleh seluruh penyokong Kelab Bumi Rahmat. Bagaimanapun, kepimpinan yang telus sangat penting untuk merealisasikan segala harapan, hala tuju dan pencapaian objektif-objektif di atas.

Sejenak bersama penulis sajak “Kelab Bumi Rahmat”

Tidak disangka seorang yang berkemahiran dalam bidang juruukur bahan dapat menulis sajak dengan begitu baik sekali. Beliau merupakan seorang wanita yang bersifat keibuan dan penyayang. Beliau juga merupakan seorang wanita yang gigih dan cukup komitmen dalam sesuatu pekerjaan yang dilakukan.

Beliau ialah Puan Maimun binti Abdullah, seorang sahabat sejati sejiwa dengan Kak Lah. Persahabatan ini terjalin sejak bersama dalam Persatuan Peniagawati Kelantan pada tahun 2000.

Beliau mendapat pendidikan awal di Ketereh English Primary School dan kemudian melanjutkan Pelajaran menengah di Sekolah Menengah Ketereh dan Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan. Beliau kemudian menyambung Pelajaran ke Institut Kemahiran Mara, Sungai Petani, Kedah dalam bidang Lukisan Seni Bina.

Seterusnya Puan Maimun melanjutkan pelajaran ke menara gading dalam bidang yang sama di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam. Namun, tidak sempat menghabiskan pengajian kerana berkahwin pada semesta satu. Beliau kemudian bekerja sebagai pelukis pelan di sebuah firma Arkitek Indah Reka Berhad selama 18 tahun. Beliau terpaksa berhenti kerja kerana menjaga neneknya yang sakit.

Selepas Puan Maimun berjumpa dengan Kak Lah, beliau mula berjinak aktif dalam persatuan bukan kerajaan, iaitu Peniagawati Malaysia dan pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha dalam Peniagawati Malaysia cawangan Kelantan.

Pada tahun 2001, Kak Lah telah menubuhkan Kelab Bumi Rahmat dan Puan Maimun memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung. Dari situ, hubungan Puan Maimun semakin rapat, memandangkan banyak menjalankan aktiviti persatuan bersama.

Menurut Puan Maimun, beliau telah melawat Tanah Serendah Sekebun Bunga di Kampung Kedai Piah dengan Mak Kak Lah dan Kak Lah sambil mandi di kolam tersebut yang dipercayai tempat Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang bersiram dahulu iaitu pada tahun 2003. Tempatnya memang sunyi, tetapi mendamaikan. Beliau tidak merasakan sesuatu yang ganjil, tetapi berasa selesa berada di situ.

Bagaimanapun, malam itu beliau telah bermimpi didatangi seorang puteri yang sangat cantik rupanya, seakan bidadari dari kayangan. Dalam keadaan yang tidak begitu sedar, beliau telah menulis sebuah sajak yang indah mengenai puteri itu. Apabila beliau sedar dari mimpi itu, alangkah terkejutnya apabila terlihat sekeping nota yang penuh dengan barisan ayat yang membentuk sebuah sajak yang indah.

Beliau menggaru kepala hairan dan bertanya, adakah ini suatu realiti atau sebuah mimpi? Suaminya sendiri turut hairan apabila membaca sajak yang begitu indah itu memandangkan Puan Maimun bukanlah seorang penyajak dan penulis. Ternyata dengan izin-Nya, semua yang mustahil akan jadi kenyataan. Baginya, proses penghasilan sajak “Bumi Rahmat” adalah suatu keajaiban dalam hidupnya.

Selang seminggu kemudian, Kelab Bumi Rahmat telah menganjurkan majlis sederhana untuk beramah mesra dengan masyarakat setempat di Tanah Serendah Sekebun Bunga. Pelbagai aktiviti menarik diadakan. Antara paling menakjubkan termasuk ketika beliau naik ke pentas untuk mendeklamasikan sajak “Bumi Rahmat”, hasil nukilan beliau sendiri.

Tiba-tiba dari kolam kelihatan jelmaan seekor buaya putih timbul di permukaan air kolam di depan pentas ketika program sedang berlangsung. Tidak semua yang berada di situ nampak buaya tersebut, hanya orang yang di tepi kolam nampak dan terpegun hairan.

Namun, bagi Kak Lah dan Puan Maimun, itu perkara biasa kerana ketika beliau dan Kak Lah mandi di kolam itu sebelum ini, mereka pernah ternampak jelmaan buaya putih tersebut. Beliau yakin bahawa ini petunjuk azali menandakan kawasan ini, yang bernama Tanah Serendah Sekebun Bunga ialah bekas tapak pemerintahan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang suatu ketika dahulu.

Sajak “Bumi Rahmat”

Asalmu perjuangan

Tanah, air, api dan angin

Titipan perjuangan Mak Saadong mengalir

tenang

Setenang air kolam

Tanah Serendah Sekebun Bunga Cik Siti Wan Kembang

Buaya putih berdoa

Rahmat-Mu kan sampai di mana-mana

Bumi Rahmat

Cakrawala hanya Tuhan yang mengerti

Kejadian dan keajaiban-Mu di bumi

Tujuh petala langit tujuh petala bumi

Pentas khusus untuk Adam dan Hawa

Nenek-moyang keturunan kita

Asal usul tatkal amula

Lahirlah umat manusia

Berbilang bangsa

Berbilang agama

Kita semua rupanya bersaudara

Kenapa kita harus bersengketa?

Bumi Rahmat

Engkau sejuk bagaikan air

Menyirami hati setiap manusia

Mengajar erti kesabaran mengalir

Bumi Rahmat

Engkau juga panas seperti api

Membakar semangat jati diri

Untuk negara Ikhlas berbakti

Bumi Rahmat

Engkau kini juga bagaikan angin yang nyaman

Menderu menyelinap wangi

Di tanah bumi ciptaan Allah

Tuhan Yang Maha Agung

Kini kesyukuran memanjat rasa

Namun yang pastinya kita tidak lupa

Asal usul kita

Dari tanah kita datang

Kepada tanah jugalah kita pulang

Bumi Rahmat

Tanahmu dipijak

Langitmu dijunjung

Kita semua harus menyayangi

Kita semua harus menyintai

Kita juga tidak rela dijajah lagi

Jadilah rajawali terbang tinggi

Sebab Bumi Rahmat itu adalah sebenarnya

Bangsa kita

Agama kita

Negara kita

Tanah air, tumpah darah

Tercinta.

 

Kak Lah telah menghadiahkan nukilan sajak ini kepada Tun Dr. Mahathir pada tahun 2004 dan sajak ini telah dipamerkan di Galeri Mahathir Pulau Langkawi. – NasionalDaily

Bersambung

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *