CYBERJAYA – Mesyuarat Agung Tahunan 2024 Putra Sepang hari ini menjunjung ucapan perasmian Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali yang menyentuh beberapa isu sensitif melanda kerajaan dan negara mutakhir ini.
Antara isu yang dibangkitkan ialah berkaitan kapal LCS yang masih tidak dapat diselesaikan walaupun kerajaan telah bertukar pemerintah, selain isu penjualan saham MAHB kepada syarikat BlackRock (GIP) dan penarikan balik subsidi rakyat.
Menurut Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra, Mohamed Shahrin Ismail, Presiden juga turut menyentuh isu berkaitan pengesahan status tanah milik rakyat, status kerakyatan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi dialog Pimpinan Berakhlak Membawa Kejayaan Negara.
Katanya, apa yang dilihat mutakhir ini banyak berlaku pelbagai salah laku kepimpinan, integriti dan tata kelola bermula dari individu yang menjadi harapan masyarakat atau kumpulan yang mereka sendiri angkat untuk membela nasib rakyat.
“Malangnya, apa yang dijanjikan selama ini hanya kata-kata kosong, yang akhirnya masyarakat menerima akibat daripada kepimpinan tidak berakhlak,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.
Beliau turut menyentuh isu ketirisan kepimpinan, penguatkuasaan dan tata kelola yang menjadi punca negara musnah serta keterbelakang.
Ini kerana katanya, dengan banyaknya kroni, maka rasuah berleluasa sehingga dan prinsip integriti tergadai.
Dalam mesyuarat itu, sebanyak 15 wakil NGO dan ahli Putra Sepang memberi mesej baik kepada parti itu, yang mula mendapat tempat di hati masyarakat di seluruh negara.
Turut hadir, Timbalan Presiden Putra, Datuk Aziz Jamaludin Mohd Tahir; Naib Presiden, Datuk Asmawar Samat; Ketua Penerangan, Shahrulufti Sharif; Ketua Bahagian Putra Kuala Selangor, Datuk Hasyim Mohd; Ketua Bahagian Puchong, Kamar Mohd Zaman; dan kepimpinan Putra Selangor.
Antara wakil NGO yang hadir ialah Pertubuhan Anak Melayu Selangor dan Kuala Lumpur, Perkasa Malaysia, Pertubuhan Kelab Pengakap Malaysia, Pertubuhan PASKAD Malaysia, Pertubuhan Banjar Malaysia, Pertubuhan Dakwah Generasi Emas, Hizbut Tahrir Malaysia dan Persatuan Pengakap Malaysia.
Hadir sama, Pertubuhan PAKAR Jihad Malaysia, Kelab Raiders Cyberjaya, Kawalan Keselamatan Cyberjaya, Pertubuhan Anak Yatim Baitululfah, Pimpinan Persilatan dan Beladiri, Pusat Tahfiz Badrul Ulum Puchong dan Komuniti Surau Cyberjaya.
Mereka turut memberi pendapat dan ucapan masing-masing mengenai slogan Pimpinan Berakhlak Membawa Kejayaan Negara. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252