Tajuk Utama
    Masa depan pekerja filem semakin terjamin

    Masa depan pekerja filem semakin terjamin

    KUALA LUMPUR – Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) menyambut baik inisiatif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melaksanakan pematuhan baharu garis panduan dan tatacara Permohonan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) seperti diumumkan Jumaat lalu.

    Garis panduan baharu itu membabitkan kontrak standard untuk kegunaan penggiat industri kreatif, caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lesen Hiburan Awam Kanak-Kanak dan Orang Muda.

    Presiden PROFIMA, Khalil Salleh menyifatkan syarat FINAS itu bukan sahaja menandakan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penggiat industri, bahkan berpegang teguh pada janji yang pernah dilafazkan sebelum ini.

    “Saya ingin menyatakan setinggi penghargaan dan berterima kasih kepada kerajaan Madani khususnya FINAS atas keprihatinan dan mengotakan janji demi menjaga kebajikan, jaminan keselamatan di tempat kerja, masa depan simpanan persaraan dan peningkatan kerjaya melalui garis panduan SPP baharu ini.

    “PROFIMA berharap semua pihak yang terbabit dalam industri perfileman dan kreatif menyambut baik dan menyokong sepenuhnya inisiatif perbadanan untuk terus melaksanakannya kerana menguntungkan semua pihak dari pelbagai aspek,” katanya menerusi kenyataan media.

    Bagi memastikan usaha itu berjaya, Khalil menyarankan pihak penerbit tidak culas memberi kerjasama sepenuhnya terhadap pelaksanaan syarat baharu itu.

    “PROFIMA berharap usaha ini berjaya dilaksanakan demi memberikan kemudahan kepada pekerja filem terutama berkaitan amalan kontrak standard dicadangkan FINAS.

    “Caruman PERKESO akan memberikan penjimatan dan keselesaan kepada penerbit kerana isu keselamatan pekerja dapat dilindungi dengan kadar dan faedah baik dan menguntungkan.

    “Caruman KWSP adalah tanggungjawab bersama bagi pekerja industri kerana simpanan persaraan secara skim i-saraan penting pada masa hadapan.

    “Pekerja sektor filem perlu bersama menggalakkan pihak pengurusan dan majikan (penerbit filem) mematuhi garis panduan SPP baharu ini supaya tidak ada yang tercicir sama ada terbabit dalam projek skala kecil ataupun besar.

    “Terima kasih kepada semua pihak yang bersama merealisasikan permintaan demi kebaikan dan masa depan sektor pekerja filem Malaysia.

    “Segala dilaksanakan akan memberikan impak besar kepada kami sebagai pekerja belakang tabir,” ujarnya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Khalil berharap langkah kerajaan memberi perubahan besar kepada atmosfera industri sinema tanah air dan dapat diberi penambah baik dari semasa ke semasa untuk manfaat bersama.

    “Semoga pengumuman ini membuka lembaran baharu kepada landskap dunia perfileman Malaysia kerana tidak pernah diletakkan dalam pengurusan dan penguatkuasaan oleh kerajaan melalui perbadanan terbabit.

    “Seluruh sektor pekerja filem menyatakan kelegaan kerana kini nasib dan keselamatan diberikan perhatian sepenuhnya oleh kerajaan.

    “Kami juga berharap ada penambahbaikan berterusan atas segala kekurangan dan keperluan sedia ada, terutama membabitkan pekerja filem Malaysia,” katanya.

    Menerusi pengumuman dibuat FINAS Jumaat lalu, syarat baharu itu merangkumi tiga aspek iaitu perjanjian rasmi kontrak standard sah mengikut perundangan Malaysia.

    Ia membabitkan syarikat dengan pelaku yakni mana-mana pihak yang memberikan perkhidmatan bagi tujuan pelaksanaan penerbitan yang memohon SPP, mengesyorkan semua tenaga kerja, kru dan pelakon yang terbabit dalam penggambaran untuk mencarum dalam PERKESO dan KWSP.

    Selain itu, ia juga membabitkan syarikat yang ingin mendapatkan perkhidmatan tenaga produksi, kru, pelakon kanak-kanak termasuk orang muda selaras dengan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 untuk mendapatkan Lesen Hiburan Awam Kanak-Kanak dan Orang Muda.

    Inisiatif itu sebagai langkah penting bagi memastikan semua kegiatan produksi dan penggambaran mematuhi syarat yang ditetapkan.

    Penambahbaikan itu bukan sahaja melindungi kepentingan syarikat produksi, kru dan pelakon, tetapi juga memberikan perlindungan khusus kepada kanak-kanak serta orang muda yang terbabit dalam industri seni. – Berita Harian

    Telegram: https://t.me/nasionaldaily

    TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

    Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *