KENINGAU – Seorang anggota Tentera Diraja Brunei yang hendak menyertai program permotoran di Sandakan, Sabah maut dalam kemalangan di Kilometer 39, Jalan Keningau-Tambunan, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa Sarjan Mejar Mohammad Joeriman Abdul Latif, 40, yang menunggang motosikal secara berkonvoi bersama rakannya disahkan meninggal dunia di Hospital Keningau (HK).
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu lelaki warga emas berusia 70 tahun.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa bersama empat lagi penunggang motosikal lain dari arah Keningau ke Sandakan.
“Sebaik tiba di lokasi, sebuah pacuan empat roda tiba-tiba keluar simpang dari arah Kampung Monsorulung Tambunan untuk memasuki jalan utama yang dilalui mangsa.
“Mangsa yang berada di jalan utama cuba mengelak ke sebelah kanan jalan, tetapi terlanggar di bahagian hadapan kanan kenderaan tersebut menyebabkan mangsa tercampak lalu terperosok bawah pacuan empat roda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yampil berkata lagi, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan, patah kaki dan rusuk kiri.
“Mangsa dihantar ke hospital bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 2.56 petang ketika menerima rawatan di wad kecemasan,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.
Yampil berkata, siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan mendapati, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu pacuan empat roda yang keluar dari simpang tanpa memerhatikan motosikal tersebut.
“Pemandu tersebut turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252