SANDAKAN – Barisan Nasional (BN) Sabah percaya formula gandingannya bersama Pakatan Harapan (PH) adalah yang terbaik untuk menghadapi PRN Sabah ke-17.
Ia juga dijangka mengenepikan sentimen anti-Malaya dan anti-persekutuan yang sering menjadi senjata pihak lawan.
Dalam satu kenyataan, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia sejajar dengan persefahaman yang amat baik dan kukuh antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahin dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Rakyat di Sabah menyedari Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar mengambil peduli terhadap mereka.
Ini dizahirkan melalui Belanjawan 2024, di mana Sabah telah diperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion berbanding RM6.5 bilion pada tahun sebelumnya.
“Selain itu, Kerajaan Persekutuan, atas semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), turut menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Menurut beliau, ini jelas membuktikan Perdana Menteri bersungguh-sungguh untuk melihat pembangunan dan kemajuan di Sabah dengan pelbagai inisiatif, antaranya Pelan Transformasi SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd) dan pelaksanaan penjanaan tenaga solar hibrid.
Sejajar dengan semangat perpaduan atas komitmen yang ditunjukkan, Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH juga hadir sebagai tetamu khas dan menyampaikan amanat di Himpunan BN Negeri Sabah (HBNNS) pada 21 Julai lalu.
Kehadiran Pengerusi PH pada HBNNS membuktikan hubungan yang erat antara kedua-dua parti, khususnya sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252