SEREMBAN – Seorang pegawai polis Bahagian Anti Pengganas (E8), Cawangan Khas Bukit Aman maut selepas motosikal ditunggang melanggar treler berhenti di susur masuk kawasan rehat dan rawat (RnR) Seremban arah selatan.
Kejadian membabitkan Asisten Superintendan (ASP) Muhammad Safwan Muhamad Ismail di Kilometer 273.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) itu dipercayai berlaku kira-kira jam 7.45 malam kelmarin, lapor BH.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim, berkata mangsa menunggang motosikal jenis Honda, manakala treler jenis Volvo terbabit dipandu seorang lelaki berumur 20-an yang tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian ketika pemandu treler dipercayai berhenti di lorong susur masuk RNR Seremban arah selatan.
“Motosikal ditunggang mangsa berusia lingkungan 30-an dari arah belakang dikatakan tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang bucu kanan treler,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta maut di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Inspektor Zakaria Mohamad Jais di talian 019-6990142 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Penolong Pengarah E8 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal hadir ke pengebumian pegawai terbabit di Kampung Paya, Port Dickson, semalam.
Terdahulu, mereka diiringi Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berjumpa keluarga Allahyarham Muhammad Safwan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJ). – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252