Suspek bunuh Nur Farah Kartini dibawa ke lokasi kejadian

Suspek bunuh Nur Farah Kartini dibawa ke lokasi kejadian

KUALA LUMPUR – Suspek kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah dibawa ke lokasi kejadian di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Hulu Selangor, di sini, hari ini.

Lelaki itu dibawa menaiki kereta jenis Proton Waja berwarna merah diiringi empat kenderaan lain.

Suspek yang disahkan seorang anggota polis itu tiba di lokasi kejadian pada jam 2.30 petang dengan memakai pakaian reman berwarna oren dan pelitup muka.

Sepanjang 15 minit di lokasi tersebut, suspek berusia 26 tahun itu dilihat menunjukkan kawasan semak-samun berhampiran anak sungai dipercayai lokasi sebenar mayat mangsa ditemukan.

Terdahulu, media tempatan melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak Rabu lalu (10 Julai) ditemukan jam 6 petang semalam di ladang kelapa sawit berkenaan, dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Gadis berusia 25 tahun yang berasal dari Miri, Sarawak itu dilaporkan gagal dikesan selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan berhampiran Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak.

Sementara itu, suspek baharu lima tahun berkhidmat dalam PDRM.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, anggota berusia 26 tahun itu bertugas di Balai Polis Slim River di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim dengan pangkat lans koperal.

Menurutnya, ketika siasatan dijalankan, anggota berkenaan yang dipercayai teman lelaki mangsa telahpun menunjukkan lokasi di mana berlakunya kejadian.

“Saya mengesahkan kes ini diperlakukan oleh seorang anggota kita dari Balai Polis Slim River.

“Subjek (suspek) telah pun ditangkap dan direman, tindakan selanjutnya perlu tunggu siasatan penuh dari Polis Selangor kerana perlakuan berlakunya kematian itu di Selangor, hanya kehilangan mangsa dilaporkan di Perak,” katanya.

Mengulas lanjut, Azizi berkata, tindakan dan siasatan segera yang digerakkan IPD Muallim selepas menerima laporan kehilangan wanita berkenaan, 11 Julai lalu berjaya membawa kepada penemuan mangsa.

Katanya, langkah itu termasuk mengedarkan maklumat kehilangan dan gambar mangsa melalui media secara serta-merta.

“Tindakan diambil Ketua Polis Daerah Muallim itu berkesan, dia terus lakukan siasatan orang hilang dan melalui penyiasatan yang dilakukan kita dapat mengesan kejadian sebenar,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *