Israel dakwa operasi di kem Gaza sasar dalang serangan 7 Oktober Hamas

Israel dakwa operasi di kem Gaza sasar dalang serangan 7 Oktober Hamas

BAITULMAQDIS – Tentera Israel berkata, ia menyasarkan ketua tentera Hamas, Mohammed Deif, dalam serangan ke atas Gaza pada Sabtu, yang menyaksikan 71 kematian dan lebih 289 cedera.

Tentera ‘menyerang Mohammed Deif dan Rafa Salama, komander Briged Khan Younis Hamas, iaitu dua daripada dalang pembunuhan beramai-ramai pada 7 Oktober,” katanya dalam kenyataan.

Ia berlaku selepas kementerian kesihatan Gaza, berkata sebahagian besar yang terbunuh dan cedera dalam serangan Israel ke atas kem Al-Mawasi adalah penduduk Palestin yang menjadi pelarian di selatan Gaza.

Mohammed, salah seorang dalang di sebalik apa yang disifatkan Israel sebagai detik 9/11, ialah seorang tokoh yang sukar ditemui, jarang bercakap dan tidak pernah muncul di khalayak ramai, selain terselamat dalam sekurang-kurangnya tujuh percubaan pembunuhan oleh Israel.

Tentera Israel berkata, pemimpin Hamas itu menjadi sasaran serangan Israel ke atas bandar Gaza, Khan Younis pada Sabtu. Seorang pegawai keselamatan berkata, tidak pasti sama ada Mohammed terbunuh dalam serangan itu.

Dalam beberapa bulan sejak Israel melancarkan kempen balas dendamnya selepas serangan 7 Oktober, Mohammed dipercayai mengarahkan operasi ketenteraan dari terowong dan jalan belakang Gaza, bersama rakan kanannya.

Menaiki tangga kedudukan dalam kepimpinan Hamas selama lebih 30 tahun, Mohammed membangunkan rangkaian terowong kumpulan itu dan berkepakaran membuat bom.

Beliau mendahului senarai orang paling dikehendaki oleh Israel selama beberapa dekad dan bertanggungjawab secara peribadi atas kematian puluhan rakyat Israel dalam pengeboman berani mati.

Mohammed dan dua pemimpin Hamas lain di Gaza yang membentuk majlis tentera tiga orang, merancang serbuan pada 7 Oktober, di mana 1,200 orang terbunuh dan lebih 250 dijadikan tebusan, mengikut angka Israel, dalam serangan paling berdarah dalam sejarah 75 tahun Israel.

Selepas serangan itu, kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berikrar untuk membunuh ketiga-tiga mereka, iaitu pemimpin Hamas di Gaza, Yahya Sinwar; Mohammed dan timbalannya, Marwan Issa, yang dilaporkan dibunuh Israel pada Mac. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *