Wali Songo penyambung warisan Sayid Hussin Jamadil Kubro

Siri Ke-12: Wali Songo penyambung warisan Sayid Hussin Jamadil Kubro

PADA tahun 1448, Sayid Hussin Jamadil Kubro telah membawa anaknya Syarif Muhammad Kebongsuan dan cucunya Wan Hussin, Wan Bo Teri dan Wan Demali ke Pulau Jawa selepas kejatuhan kerajaan Cermin-Jiddah (Majapahit II). Tiga cucunya ini kemudiannya telah diserahkan kepada sepupu mereka Sunan Ampel untuk dididik. Setelah dewasa, mereka juga membantu pendakwahan Islam di sana.

Dakwah Islam di kawasan kerajaan-kerajaan Melayu di utara Tanah Melayu juga terus berkembang dengan usaha dakwah daripada keturunan Sayid Hussin Jamadil Kubro. Melalui cucu cicitnya, dakwah Islam terus bersemarak. Misalnya anak-anak Sayid Ali Nurul Alam iaitu Perdana Menteri Kelantan-Empayar Majapahit I (1432-1467 Sultan Qunbul) telah meneruskan usaha dakwah yang berterusan tanpa jemu.

Antaranya termasuk Wan Hussin telah menjadi pendakwah dan pengasas sistem pondok di Pattani, manakala Wan Bo Teri atau Wan Abu Abdullah pula telah menjadi pengasas kerajaan Campa dan penyebaran dakwah Islam yang gigih.

Pendakwahan Islam juga dilakukan di tempat-tempat lain di Alam Melayu. Maulana Ishak, keturunan Sayid Hussin Jamadil Kubro telah bergerak di Pasai, Sumatera untuk berdakwah. Ini termasuk berdakwah di Aceh. Wan Hussin pula telah dihantar ke Pulau Madura, Wan Bo Teri ke Pasai (juga Aceh) dan Wan Demali ke kawasan Johor-Riau (Pulau Bentan). Dari sinilah Wan Demali mendapat jolokan Raja Laksamana Bentan.

Generasi Wan Bo Teri telah berjaya menegakkan dua kerajaan Islam banten dan Ceribon. Anaknya Syarif Hidayatullah atau Sunan Gunung Jati telah dapat menyempurnakan cita-cita datuknya, Sayid Hussin Jamadil Kubro untuk membina kerajaan Islam. Kejayaan mereka dalam perjuangan dakwah telah mencapai tahap yang gemilang dengan kelahiran Islam sebagai agama yang dominan di Indonesia sehingga negara itu dianggap sebagai sebuah negara Islam di dunia pada hari ini.

Dengan ini dapat disimpulkan, peranan Sayid Hussin Jamadil Kubro sebagai pencetus dakwah Islam di Alam Melayu ini dan peranan anak cucu cicitnya sebagai penyambung dakwah Islam itu, telah menjadikan Alam Melayu dapat mengamalkan ajaran Islam dengan cara yang meluas sehingga Islam menjadi agama dominan di kawasan ini.

Namun, peranan ini hanya dapat tercetus dengan perkahwinan diraja oleh Sayid Hussin Jamadil Kubro di serata Alam Melayu ini. Perkahwinannya dengan empat puteri raja telah menyebarkan keturunannya di seluruh Alam Melayu sehingga keturunannya boleh menjadi penerus kegiatan dakwah Islamiah itu.

Perkahwinan dan penyebaran Islam inilah, daripada seorang keturunan Nabi Muhammad SAW, yang amat bermakna kepada generasi keturunannya hari ini, seperti Kak Lah (Fadzillah Hussin).

Kata seorang penyelidik mengenai peranan besar Sayid Hussin Jamadil Kubro ini:

“Sesungguhnya Allah SWT telah memberi kemuliaan kepada cabang ahlul-bait daripada titisan zuriat Sayid (Hussin) Jamaluddin yang telah memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di beberapa bahagian Nusantara khususnya Indonesia dan Tanah Melayu. Seorang pendakwah gigih, wali besar dan induk kepada ramai alim ulama Nusantara”.

Sayid Hussin Jamadil Kubro telah menghabiskan sisa hidupnya dalam penyebaran agama Islam dan telah mengakhiri kehidupan di daerah Wajo, Sulawesi. Beliau meninggal dunia pada tahun 1453 dan jasadnya telah disemadikan di Luwok, Sulawesi, Indonesia.

Wali Songo penyambung warisan Sayid Hussin Jamadil Kubro

Wali Songo secara umumnya merujuk kepada sembilan wali yang dianggap pelopor dan juga pejuang dalam pengembangan Islam di Pulau Jawa pada kurun ke-15, iaitu pada era Kesultanan Demak. Mereka ialah Sunan Gresik, Sunan Ampel, Sunan Giri, Sunan Bonang, Sunan Drajat, Sunan Kali Jogo atau Kali Jaga, Sunan Kudus, Sunan Muria dan Sunan Gunung Jati.

Mereka sebenarnya mempunyai hubungan yang erat, sama ada pertalian darah ataupun hubungan guru dan murid. Mereka ialah intelektual yang menjadi pembaharu masyarakat pada masanya. Mereka juga adalah pemaju masyarakat dalam semua bidang kehidupan seperti kesihatan, bercucuk tanam, kebudayaan dan kesenian serta sistem pemerintahan.

Misalnya Sunan Giri dan Sunan Gunung Jati bukan hanya ulama, namun juga pemimpin pemerintahan. Era Wali Songo ialah era berakhirnya dominasi Hindu-Buddha dalam budaya masyarakat tempatan. Kehidupan masyarakat kemudian telah digantikan dengan agama dan kebudayaan Islam.

Mereka menjadi simbol penyebaran Islam di Indonesia, khususnya di Jawa. Gelaran Sunan berasal dari Susuhunan, yang bererti mereka yang dijunjung tinggi atau panutan masyarakat setempat. Ada juga yang mengatakan Sunan berasal dari perkataan Suhunan yang bermaksud guru besar atau orang yang berilmu tinggi.

Sunan Gresik

Sunan Gresik iaitu Maulana Malik Ibrahim juga terkenal sebagai Syeikh Maghribi. Beliau ialah anak Sayid Hussin Jamadil Kubro dengan Puteri Linang Cahaya, kekanda kepada Adruja Wijayamala Singha atau Paduka Cik Siti Wan Kembang I. Dengan itu, beliau berdarah Arab dan Melayu Kota Grahi, Langkasuka, Pattani dan Kelantan. Ini bermakna Sunan Gresik ini bernisab kepada keturunan Nabi Muhammad SAW.

Salasilah Maulana Malik Ibrahim adalah sebagaimana berikut: Maulana Malik Ibrahim ibni Sayid Hussin Jamadil Kubro ibni Ahmad Shah Jalal bin Sayid Abdullah Khan bin Sayid Abdul Malik al-Ahzamat Khan bin Sayid Alawi bin Sayid Muhammad Sahib al-Mirbat bin Sayid Ali Khali’ Qasam bin Sayid Alawi bin Sayid Muhammad bin Sayid Alawi bin Sayid Ubaidillah bin Sayid Ahmad al-Naqib bin Sayid Isa al-Rumi bin Sayid Muhammad al-Naqib bin Sayid Ali al-Uraidhi bin Imam Jaafar al-Sadiq bin Imam Muhammad al-Baqir bin Imam Ali Zainul Abidin bin Sayidina Hussin bin Sayyidah Fatimah al-Zahra binti Sayidina Muhammad SAW.

Maulana Malik Ibrahim dianggap sebagai ketua Wali Songo yang telah membuka laluan kepada wali-wali yang kemudian untuk berdakwah di Pulau Jawa. Beliau telah memilih Jawa Timur sebagai pusat dakwahnya. Pendekatan yang dibawa oleh Maulana Malik Ibrahim dalam usaha dakwa beliau ialah dengan mendekati masyarakat melalui pergaulan.

Budi bahasa yang ramah tamah sentiasa diperlihatkan dalam pergaulan seharian. Beliau tidak menentang secara tajam agama dan kepercayaan hidup masyarakat tempatan, melainkan hanya memperlihatkan keindahan dan kebaikan yang dibawa oleh agama Islam.

Berkat keramahannya, banyak anggota masyarakat tempatan memeluk Islam. Setelah selesai membangun dan mengasaskan sistem sekolah pondok sebagai tempat belajar agama di Leran, Maulana Malik Ibrahim telah meninggal pada tahun 1419. Makamnya kini  terdapat di Desa Gapura, Gresik, Jawa Timur.

Kerja-kerja dakwahnya telah diambil alih oleh anak-anak saudaranya, yang dihantar oleh Sayid Hussin Jamadil Kubro, yang masih menjalankan dakwahnya di Pulau Sulawesi.

Sunan Gunung Jati

Sunan Gunung Jati atau Syarif Hidayatullah atau Ahmad Fatahi’ilah ialah cucu Sayed Ali Nurul Alam (Patih Aria Gajah Mada), iaitu anak kepada Wan Abu Abdullah (Wan Bo teri). Datuknya ialah anak kepada Sayid Hussin Jamadil Kubro yang berkahwin dengan Puteri Lindungan Bulan (Puteri Shahirah), cucu saudara Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang I. Puteri Lindungan Bulan ialah isteri ketiga Sayid Hussin Jamadil Kubro.

Beliau dilahirkan di kerajaan Campa pada sekitar tahun 1450. Sunan Gunung Jati merupakan satu-satunya Wali Songo yang menyebarkan Islam di Jawa Barat dan juga pengasas Kesultanan Cirebon (Banten). Dengan segala jasanya, umat Islam di Jawa Barat memanggilnya dengan nama lengkap Syeikh Maulana Syarif Hidayatullah Sunan Gunung Jati Rahimahullah.

Beliau banyak belajar agama daripada ayahnya di Pasai. Ketika meningkat dewasa, Pasai telah dijajah oleh Portugis. Oleh sebab tidak suka dengan kedatangan agama Kristian, beliau telah berangkat ke Makkah untuk mendalami ilmu agama Islam selama tiga tahun. Setelah kembali dari Makkah, Pasai masih di bawah penguasaan Portugis dan ini menyebabkan beliau mengambil keputusan meninggalkan Pasai dan pergi ke Pulau Jawa.

Beliau sentiasa mengadakan aktiviti dakwah dan bergerak untuk berdakwah. Di samping itu, beliau juga berkhidmat sebagai seorang panglima perang kerajaan Campa. Beliau kemudian telah dilantik sebagai Perdana Menteri semasa pemerintahan bapa saudaranya, Sultan Iskandar Syah.

Sejarah hidup beliau penuh dengan misi dakwah dan peperangan. Akibat peperangan yang sentiasa berlaku terhadap Campa, keluarga Sayid Ali Nurul Alam bergerak keluar dari Campa. Mereka lari ke Terengganu, Pasai, Johor, Muar dan Melaka. Kerajaan Empayar Cermin-Jiddah hancur dengan serangan tentera Ayudhia pada 1465.

Pada tahun 1470, dengan bantuan kerajaan-kerajaan Melayu lain seperti Melaka dan Pasai, mereka menyerang kembali. Serangan yang diketuai oleh Laksamana Hang Tuah, Tun Mutahir dan juga Laksamana Bentan Wan Demali. Tentera gabungan Melayu ini berjaya menghancurkan pertahanan tentera Ayudhia.

Malangnya, Sultan Iskandar Syah mangkat. Syarif Hidayatullah akhirnya meneruskan dakwahnya di Cirebon dan menetap di situ hingga saat ajalnya. Beliau mangkat pada tahun 1570 dan dimakamkan di sebuah wilayah yang dipanggil Gunung Jati.

Sunan Ampel

Sunan Ampel pada masa kecilnya bernama Raden Rahmat. Beliau juga dikenali sebagai Maulana Rahmatullah. Beliau dilahirkan pada tahun 1401 di Campa. Beliau ialah anak kepada Ibrahim Asmaro bersama Puteri Canda Wulan. Ibunya juga memiliki darah Uzbekistan. Adiknya bernama Maulana Ishak. Datuknya, Sayid Hussin Jamadil Kubro telah berkahwin dengan Puteri Rahmahwati, anak Raja Campa. Puteri ini ialah isteri kedua Sayid Hussin Jamadil Kubro.

Pada awal kurun ke-15, Sayid Hussin Jamadil Kubro telah menghantar anaknya Ibrahim Asmaro ke Pulau Jawa dengan disertai kedua-dua anak Ibrahim, Raden Rahmat dan Maulana Ishak. Mereka telah menjalankan dakwah Islam dengan begitu berjaya sekali.

Sunan Ampel kemudian berkahwin dan mendapat dua cahaya mata. Anak-anaknya itu telah dididik dengan berjaya sekali sehingga keduanya telah mengikut jejak langkahnya. Mereka menjadi pendakwah yang terkenal dan diangkat sedarjat dengan bapanya, Sunan Ampel.

Mereka kemudian digelar sebagai Sunan Bonang dan Sunan Drajat. Sunan Ampel juga mengajar dan mendidik sunan-sunan yang lain, yang merupakan kaum kerabatnya. Antaranya, termasuk Sunan Giri, Sunan Kali Jogo dan Raden Patah.

Sunan Ampel bertanggungjawab merencanakan pembangunan kerajaan Islam pertama di Jawa, iaitu Demak dan seterusnya telah memilih seorang anak muridnya, Raden Patah sebagai sultan pertama bagi kerajaan tersebut dengan gelaran Sultan Alam Akbar Al-Fattah. Daripada zuriat Sunan Ampel lahirlah tiga lagi kumpulan Wali Songo iaitu Maulana Makhdum Ibrahim (Sunan Bonang), Syarifuddin Hasyim (Sunan Drajat) dan seorang puterinya iaitu Dewi Saroh yang kemudiannya telah berkahwin dengan Raden Mas Syahid (Sunan Kali Jaga/Kali Jogo), seorang wali daripada suku Jawa asli yang juga tersenarai sebagai seorang daripada kumpulan Wali Songo. Sunan Ampel meninggal dunia pada tahun 1481 dan dimakamkan di Masjid Ampel, Surabaya.

Seorang putera Maulana Ishak yang bernama Raden Paku atau Sunan Giri telah membangunkan Giri sebagai Gerakan mujahid yang terkemuka dengan menyediakan para ulama yang bekerja keras untuk menyatukan kerajaan Pulau Madura, Bawean, Kangean, Ternate dan Maluku di bawah panji-panji Islam.

Beliau dilahirkan pada tahun 1442. Beliau ialah cicit kepada Sayid Hussin Jamadil Kubro dan Puteri Rahmahwati, puteri Raja Campa. Sunan Giri mempunyai beberapa nama panggilan iaitu Raden Paku, Prabu Satmata, Sultan Abdul Faqih, Raden Ainul Yaqin dan Joko Samudra. Sunan Giri merupakan anak hasil pernikahan Maulana Ishak dengan Dewi Sukardadu, Puteri Prabu Menak Sembuyu, Raja Wilayah Balambangan di bawah empayar Majapahit.

Sunan Giri telah berguru dengan ayahnya selama tiga tahun dan kemudiannya berguru dengan bapa saudaranya, Sunan Ampel. Atas dorongan Sunan Ampel, Raden Paku telah melanjutkan pengajian ke Makkah bersama dengan sepupunya, Maulana Makhdum Ibrahim (Sunan Bonang).

Dalam perjalanan ke Makkah, mereka telah singgah di Pasai untuk menuntut dan mendalami ilmu tasawuf sehinggakan beliau mencapai satu taraf yang tinggi dalam bidang tarekat sehinggakan gurunya menggelarkannya sebagai ‘Ainulyaqin’.

Beberapa tahun di Pasai, mereka kembali ke Jawa tanpa terus ke Makkah. Beliau kemudian mendirikan sebuah pusat pengajian agama di sebuah bukit di desa Sidomukti, Kebomas yang kemudiannya telah terkenal sebagai pusat penyebaran agama Islam di Jawa. Pengaruh pusat penyebaran Islam Sunan Giri ini tersebar sampai ke Madura, Lombok, Kalimantan, Sulawesi dan Maluku.

Dari segi pemerintahan pula, Sunan Giri merupakan orang yang paling berpengaruh dalam pemerintahan kerajaan Islam Demak. Kedudukannya sebagai ulama dan buah fikirannya sangat dihormati dan dikagumi. Pengaruh Giri terus berkembang sehingga menjadi sebuah kerajaan kecil yang disebut Giri Kedaton, yang menguasai Gresik dan sekitarnya selama beberapa generasi sampai akhirnya ditumbangkan oleh Sultan Agong. – NasionalDaily – Bersambung

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *