Kedudukan 6 MP: Keputusan Speaker berdasarkan Perlembagaan - Anwar

Status 6 MP: Keputusan Speaker berdasarkan Perlembagaan – Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai kedudukan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang dikekalkan.

Beliau juga meminta Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membaca tafsiran undang-undang Perlembagaan Persekutuan mengenai Akta Anti Lompat Parti secara menyeluruh, bukan sebahagiannya sahaja.

Anwar berkata, ketetapan dibuat Johari berlandaskan undang-undang yang memberi kuasa kepada Speaker untuk membuat keputusan.

“Kalau tafsiran undang-undang kena baca seluruhnya, jangan pilih satu dan tinggal yang lain seperti mana dilakukan pimpinan Bersatu semalam.

“Ikut undang-undang. Bukan soal Perdana Menteri, soal ketua pembangkang. Dia ikut undang-undang. Dan tafsiran undang-undang itu serah kepada Speaker.

“Saya tidak tahu kenapa dia baca sebahagian dan tinggal sebahagian. Itu kaedah kerja politik Bersatu. Macam (dalam isu) BlackRock juga, (mereka) baca sebahagian dan tinggal sebahagian. Tidak betul,” katanya dipetik AWANI.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan khas sempena majlis perasmian pada hari kedua Global Madani Forum 2024 di Hotel Sunway Putra, di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai status enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang telah mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri dan kekal sebagai wakil rakyat.

Anwar juga mengingatkan semasa berada di pihak pembangkang, Pakatan Harapan (PH) telah mencadangkan supaya mana-mana ahli parti yang dipecat digugurkan secara automatik sebagai Ahli Parlimen.

“Kami tegas dalam memasukkan bahagian bahawa jika dipecat, mesti gugur. Namun, Bersatu menentang ketika itu.

“Oleh itu, ia dimasukkan sebagai pengecualian. Jadi, kena baca Perlembagaan,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *