KUALA LUMPUR – Go Hub Capital Bhd, penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) pengangkutan utama di Malaysia memulakan penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 80 sen, mencatatkan premium 128.57 peratus atau 45 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 35 sen sesaham.
Pengarah Eksekutif Go Hub, Tan Cherng Thong berkata, syarikat menggariskan penggunaan strategik hasil IPO untuk meningkatkan operasi dan kedudukan di pasaran dengan memfokuskan pengembangan jejak geografi.
Beliau berkata, ini terutamanya di pasaran domestik yang membabitkan projek utama pemasangan di terminal bas di Sabah sejak November 2023.
“Kami juga merancang untuk melaksanakan penyelesaian IT pengangkutan di terminal feri di bawah Inisiatif Digitalisasi Sabah dengan pelaksanaan penuh dijangka pada Mac 2025.
“Tambahan pula, kami merancang untuk memperkukuh tenaga kerja bagi menyokong pengembangan perniagaan dengan peruntukan sebanyak RM10.1 juta hasil daripada IPO yang diperuntukkan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia, hari ini.
Cherng Thong berkata, usaha pemasaran juga akan dipertingkatkan termasuk penyertaan syarikat dalam pameran antarabangsa seperti ‘Rail Solution Asia’ dan InnoTrans, dengan peruntukkan sebanyak RM1 juta untuk aktiviti ini.
Selain itu, katanya, pengambilalihan menara pejabat Star Central dan penubuhan pusat bersepadu di Lembah Klang adalah sebahagian daripada inisiatif strategik syarikat untuk menyediakan asas yang kukuh bagi operasi yang semakin berkembang.
“Kami sangat yakin mengenai prospek masa depan untuk penyelesaian IT dalam sektor pengangkutan di Malaysia, di mana pertumbuhan konsisten dalam jumlah penumpang dan di terminal menekankan peningkatan permintaan untuk sistem pengangkutan yang cekap.
“Prestasi kukuh Go Hub yang dibuktikan dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 55.7 peratus bagi hasil berulang, menonjolkan keupayaan kami untuk memenuhi permintaan penyelesaian IT yang inovatif dan efektif,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman luas syarikat dan rekod prestasi dalam menyediakan penyelesaian IT yang pelbagai menguatkan lagi keyakinan dalam memilih peluang masa depan untuk memacu pertumbuhan yang berterusan.
“Perjalanan kami ke tahap ini didorong oleh komitmen bersama terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam sektor IT pengangkutan untuk melangkah ke hadapan, di mana kami tetap berdedikasi untuk memajukan teknologi serta memperluaskan perkhidmatan bagi memenuhi dan melampaui keperluan pelanggan yang semakin berkembang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Go Hub, Zulkifly Zakaria berkata, penyenaraian ini menandakan satu pencapaian penting yang mencerminkan kerja keras dan dedikasi pasukan serta keyakinan pasaran terhadap visi dan strategi syarikat.
“Kami yakin dengan peluang yang akan datang membolehkan kami meningkatkan perkhidmatan dan mengembangkan jangkauan kami di Malaysia.
“Maklum balas positif pelabur terhadap IPO kami menggariskan kepercayaan pasaran terhadap keupayaan dan potensi pertumbuhan, di mana ini akan memanfaatkan momentum bagi memacu pertumbuhan Go Hub dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai penyedia penyelesaian IT utama dalam sektor pengangkutan awam,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252