BERITA UTAMA
Edar heroin: Ahli perniagaan diperintah bela diri, isteri terlepas hukuman mati

Edar heroin: Ahli perniagaan diperintah bela diri, isteri terlepas hukuman mati

IPOH – Seorang ahli perniagaan diperintah Mahkamah Tinggi di sini, membela diri atas pertuduhan mengedar lebih 10 kilogram heroin kira-kira lima tahun lalu.

Isterinya yang menghadapi tuduhan bersama melakukan jenayah itu, dibebaskan.

Mohinder Singh Gurdial Singh, 45, diperintah berbuat demikian selepas mahkamah mendapati wujud prima facie dalam pendakwaan kes, yang bagaimanapun gagal ditimbulkan dalam pendakwaan ke atas isterinya, G Peramla, 54.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohinder dan Peramla yang juga suri rumah, didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 10,485 gram (g) di sebuah rumah di Sri Klebang A/11 Bandar Baru Sri Klebang, Chemor, di sini, kira-kira 6.25 petang 22 November 2019, lapor Berita Harian.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39(B)(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung.

Mohinder turut diperintah membela diri atas empat lagi pertuduhan, masing-masing pengedaran 1,322.9 gram dadah jenis heroin dan monoacetylmorpines serta tiga pertuduhan mengikut Akta Racun 1952.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed ketika membacakan alasan penghakiman berkata, adalah tidak selamat untuknya memanggil tertuduh kedua, iaitu Peramila membela diri atas pertuduhan mengedar dadah secara bersama.

“Oleh itu OKT kedua dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri,” kata Abdul Wahab.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi dan Saiful Akmal Mod Said, manakala pasangan berkenaan diwakili peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Effa Azuin Aidrul Hisham dan Hartrisha Kaur Sandhu.

Seramai 15 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding pendakwaan sebelum ini. Mahkamah menetapkan 28 dan 29 Ogos ini untuk perbicaraan bagi peringkat kes pembelaan.

Mengikut fakta kes, heroin berkenaan ditemui dalam pemeriksaan oleh sepasukan polis Bukit Aman ke atas kereta jenis Proton Inspira pasangan terbabit di garaj rumah sewaan Mohinder, yang juga dijadikan makmal memproses dadah.

Kereta itu mulanya dipandu Mohinder diekori polis dan apabila sampai di rumah, Mohinder memasukkan bungkusan plastik berisi dadah ke dalam bonet belakang dan menyuruh Peramla menutupnya, selain mereka bertukar tempat duduk dalam kereta berkenaan.

Selain dadah dalam bonet kereta, polis juga menemukan sejumlah dadah lagi dalam rumah itu, bersama beberapa bahan lain untuk memproses dadah, termasuk 60.55kg serbuk mengandungi kafien, 93 mililiter cecair mengandungi kafein dan 10.74kg bahan serbuk mengandungi Chloroquine. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *