BERITA UTAMA
Dua pelajar MMRP rangkul johan pertandingan syarahan bahasa Arab

Dua pelajar MMRP rangkul johan pertandingan syarahan bahasa Arab

RANTAU PANJANG – Dua pelajar Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP) yang dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan Syarahan Bahasa Arab Kategori A Lelaki dan Perempuan.

Wennorlie Mohd Noor berjaya mengatasi 11 peserta lain dengan mengumpul sebanyak 98 markah, sekali gus menempah tiket ke Johor untuk berentap di peringkat kebangsaan November ini.

Manakala seorang lagi pelajar MMRP yang mencipta tempat pertama bagi Kategori A Perempuan ialah Hanim Alia Abdul Razak yang mengumpul 83 markah.

Bagi kategori perempuan pertandingan diadakan di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Maheliah Geting, Tumpat, manakala kategori lelaki di MMRP selaku tuan rumah.

Pertandingan syarahan itu dianjurkan Majlis Sukan dan Kegiatan Ilmiah Sekolah-sekolah Menengah Agama Yayasan Islam Kelantan (MASSAK).

Berikut keputusan penuh pertandingan bagi dua kategori;

Naib Johan Kategori A Lelaki dimenangi Abdul Rahman Roslan dengan pungutan 95 markah, diikuti tempat ketiga, Muhammad Naqiuddin Musa (93 markah).

Kategori B Lelaki yang diadakan di MMRP dimenangi Meor Azzam Meor Shamshir dari Maahad Muhammadi Lelaki, diikuti naib johan, Muhammad Irsyad Afandi (Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong) dan tempat ketiga, Muhammad Fares Sayfullah Mohd Sabry (Maahad Sains Tok Guru).

Pemenang bagi tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima cenderahati dan sijil penyertaan.

Seramai 24 peserta lelaki dipertandingkan di MMRP, iaitu 12 peserta Kategori A dan 12 peserta Kategori B yang telah mendapat tempat pertama di peringkat zon masing-masing.

Selain syarahan bahasa Arab, MASSAK juga turut mengadakan pertandingan berkhutbah, syarahan Bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Tilawah al-Quran, Hafazan, Nasyid, Kitab Turath dan Kuiz.

Menurut guru bimbingan syarahan MMRP, Fakruruzi Shafie, kemenangan Wennorlie adalah kali ketiga di peringkat negeri dan pernah pada tahun 2022 menyertai pertandingan kebangsaan di Kedah dan tahun lalu di Cheras, Kuala Lumpur.

“Wennorlie pernah dua kali ke peringkat kebangsaan, namun nasib tidak menyebelahinya apabila hanya mendapat sagu hati.

“Insya-Allah, tahun ini (November di Johor) kita harapkan beliau dapat memperbaiki syarahannya dan memperoleh kejuaraan,” katanya. – NasionalDaily

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *