BERITA UTAMA
Isu peruntukan PRK: Kenyataan berpandukan keputusan mahkamah - Ahmad Maslan

Isu peruntukan PRK: Kenyataan berpandukan keputusan mahkamah – Ahmad Maslan

NIBONG TEBAL – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan kenyataan beliau berhubung peruntukan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini adalah berpandukan kepada keputusan mahkamah.

Berikutan itu, beliau hairan mengapa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mempertikaikan kenyataannya itu, sedangkan beliau secara jelas memberi kenyataan berdasarkan kepada apa yang telah diputuskan mahkamah.

“Saya cabar Bersih untuk buat kajian mengenai keputusan mahkamah itu, bawa kembali (ke mahkamah) atas sebab apa dan cabar, maka (nanti) tidak ada lagilah pengumuman.

“Saya dah lama mengikuti PRK dan saya hadir hampir semua PRK sejak 1990 kecuali satu di Batang Ai, Sarawak… punyalah banyak (kes seperti ini) sejak tahun 1990 dan tentu saya tahu cerita kerana duluan kes ketika zaman Tengku Razaleigh Hamzah berkenaan pengumuman projek jalan semasa PRK.

“…kerana duluan kes ini mahkamah memutuskan kerajaan berhak umum di mana dan pada bila-bila masa pun dan kepada sesiapa pun dan tentang apa pun yang difikirkan sesuai kepada rakyat, tak kira waktu, semasa PRK ataupun tidak PRK,” katanya ketika ditemui selepas program Ceramah Perpaduan di tapak Pasar Malam Sungai Duri, di sini, malam tadi.

Turut hadir Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan calon Pakatan Harapan (PH) bagi PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin.

Bersih baru-baru ini mempersoalkan kenyataan Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya yang menganggap adalah tidak salah bagi menteri atau kementerian menganjurkan program atau mengumumkan peruntukan semasa PRK berlangsung.

Ahmad berkata, isu penganjuran program dan pengumuman peruntukan itu pernah dibawa ke mahkamah sebelum ini, namun keputusan tidak memihak kepada pihak yang mempertikaikannya.

Terdahulu, dalam ceramah tersebut, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berharap pengundi Melayu tidak terpedaya dengan sentimen perkauman yang dibawakan pembangkang sepanjang berlangsungnya kempen PRK DUN Sungai Bakap.

Beliau berkata, sentimen seumpama itu antaranya mengatakan ‘Malaysia kononnya akan diambil alih oleh masyarakat Cina’, sengaja dimainkan oleh pembangkang untuk menarik sokongan pengundi.

“Jangan kita percaya tanpa kita lihat realiti sebenar. Selama lebih setahun kerajaan ini (Perpaduan) berjalan (memerintah), hak-hak orang Melayu tidak terjejas, malah kita berusaha untuk menaikkannya,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Joohari dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *