KOTA BHARU – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim akan memfailkan bantahan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berhubung kekosongan kerusi disandangnya di mahkamah Ahad ini.
Katanya, sehingga jam 6.30 petang ini, beliau masih mengadakan perbincangan dengan panel peguamnya di Kuala Lumpur.
“Minta maaf saya tidak boleh mengulas lanjut kerana pada saat ini saya masih berbincang dengan panel peguam.
“Saya perlu menyelesaikan perkara-perkara yang perlu dimasukkan dalam afidavit sebelum memfailkan di mahkamah Ahad ini.
“Saya akan memfailkan di mahkamah bagi membantah pengumuman Speaker Dun Kelantan semalam,” katanya kepada Harian Metro.
Semalam, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang ADUN Bersatu mengenai keahlian Mohd Azizi yang hilang daripada Bersatu.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri pada 28 Jun bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya berkenaan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252