KAJANG – Polis memburu empat lelaki yang terlibat dalam kejadian samun menggunakan senjata api di sebuah kedai emas dalam pusat beli-belah di sini petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohamad Nasir Drahman berkata, siasatan mendapati suspek yang memakai topeng dan berpakaian seperti pengawal keselamatan serta bersarung tangan masuk ke premis itu yang terletak di tingkat satu pada jam 3.17 petang.
“Suspek bertindak memecahkan cermin kaca tempat simpanan emas menggunakan tukul besi sebelum mengambil barang kemas.
“Suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol serta selaras senapang dan ketika kejadian, mereka melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis sebelum melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah bangunan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, jumlah kerugian masih disiasat dan pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup, selain mengambil keterangan saksi untuk siasatan selanjutnya di bawah Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat).
Mohamad Nasir juga berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat iaitu ASP Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-244 6768. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252