TANAH MERAH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap beruang matahari, yang kedua dalam seminggu di Kampung Air Asahan Hulu di sini semalam.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, haiwan liar itu ditangkap anggota Perhilitan Jeli selepas menerima aduan pada 29 Mei lalu, susulan beruang berkenaan berkeliaran di kebun penduduk kampung.
“Selepas menerima aduan itu anggota kami terus ke lokasi dan memasang satu unit perangkap bagi menangkap haiwan liar berkenaan.
“Hari ini, beruang matahari itu memasuki perangkap dan berjaya ditangkap, seterusnya melegakan penduduk kampung, selain dapat mengelak kerugian berterusan dialami mereka akibat kemusnahan hasil pertanian dan harta benda,” katanya.
Menurut beliau, haiwan itu ialah beruang kedua ditangkap di kampung sama, selepas pihaknya berjaya menangkap yang pertama pada 28 Mei lalu.
Mohamad Hafid berkata, operasi pemindahan dan pelepasan semula beruang matahari itu ke habitat lebih sesuai dan selamat akan dilakukan dalam masa terdekat oleh kakitangan Pejabat Perhilitan Daerah Jeli.
“Operasi tangkapan dan pemindahan beruang ini bukan penyelesaian jangka panjang berikutan kampung terbabit berhampiran dengan Hutan Simpan (HS) Air Satan yang merupakan habitat asal hidupan liar berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai diminta lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada diri sendiri.
Orang awam terutama pekebun katanya, perlu mengambil langkah mitigasi seperti sentiasa berteman semasa ke kebun, tidak memasuki kawasan kebun pada waktu malam dan perlu membersihkan kebun dan tidak dibiarkan bersemak. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252