BERITA UTAMA

Bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad sertai Pilihan Raya Presiden

TEHRAN – Bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad telah mendaftarkan pencalonannya untuk Pilihan Raya Presiden kilat selepas kematian Presiden Ebrahim Raisi dalam nahas helikopter, lapor Sputnik yang memetik media negara itu pada Ahad.

Ahmadinejad memasuki bangunan Kementerian Dalam Negeri yang menempatkan ibu pejabat suruhanjaya pilihan raya untuk mendaftar sebagai calon, menurut laporan itu.

Sementara itu, Menteri Kebudayaan dan Bimbingan Islam Iran, Mohammad Mehdi Esmaili juga telah menyertai perlumbaan untuk pilihan raya presiden kilat ini, menurut laporan agensi berita Iran, Fars pada Ahad.

Esmaili memasuki bangunan Kementerian Dalam Negeri yang menempatkan ibu pejabat suruhanjaya pilihan raya untuk mendaftar sebagai calon, kata laporan itu.

Beberapa ahli politik terkemuka Iran juga menyertai kempen ini, termasuk bekas Pengerusi Parlimen, Ali Larijani dan Gabenor Bank Pusat, Abdul Nasser Hemmati, antara lain, lapor media Iran.

Di bawah Perkara 131 Perlembagaan Iran, Pilihan Raya Presiden mesti diadakan dalam tempoh 50 hari selepas pengisytiharan kematian atau ketidakupayaan presiden dan pemindahan tugas kepada naib presiden pertama. Jawatan ini kini dipegang oleh Mohammad Mokhber.

Mengikut kalendar pilihan raya yang diluluskan, pendaftaran calon akan berlangsung dari 30 Mei hingga 3 Jun, dan pemeriksaan kelayakan akan dijalankan dari 4 hingga 10 Jun. Senarai akhir calon akan diumumkan pada 11 Jun, lapor agensi berita Mehr.

Kempen akan dibenarkan selama dua minggu, dari 12 hingga 26 Jun. “Hari berdiam diri” akan diisytiharkan sehari sebelum pilihan raya dan kempen adalah dilarang. Pilihan Raya Presiden akan berlangsung pada 28 Jun. Pusingan kedua, jika perlu, akan diadakan pada 5 Julai. -BERNAMA-SPUTNIK

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *