BERITA UTAMA

Lebih 1.5 juta pengunjung hadir meriahkan PBAKL 2024

KUALA LUMPUR – Jumlah pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 sudah melepasi sasaran 1.5 juta orang pagi ini dan rekod kedatangan dijangka terus bertambah hingga malam ini.

Pengerusi Pengelola PBAKL 2024, Mohd Khair Ngadiron, berkata perkembangan memberangsangkan itu turut dipengaruhi atas faktor cuti sekolah dan cuti hujung minggu yang membuatkan ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan pelbagai pilihan buku pada harga istimewa.

“Tambahan pula pada Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 bagi pelajar Tahap Dua sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

“Menariknya, baucar yang mula boleh ditebus mulai Jumaat itu turut boleh digunakan untuk membeli buku yang diterbitkan pengeluar dan pempamer PBAKL melalui pembelian secara dalam talian.

“Ini sekali gus merancakkan lagi kemeriahan pesta buku serta memberi pulangan memberangsangkan kepada penerbit buku melalui pembelian buku menggunakan baucar yang baru diumumkan Perdana Menteri,” katanya dipetikan Berita Harian.

PBAKL melabuhkan tirai selepas 10 hari berlangsung yang menjadi acara tahunan dinanti-nantikan dengan sasaran tahun ini seramai 1.5 juta orang.

Pesta buku itu terus menjadi platform utama untuk pencinta buku, penerbit, penulis dan pembaca dari seluruh dunia untuk berkumpul dan berkongsi minat mereka terhadap dunia perbukuan.

Ia yang mula dianjurkan pada 1981 sebagai platform untuk mempromosikan budaya membaca dan industri perbukuan negara terus berkembang menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh pencinta buku dari seluruh dunia.

Mohd Khair yang juga Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MKBM), berkata pihaknya sangat berterima kasih kepada Anwar berikutan beliau mengumumkan pemberian baucar buku ketika PBAKL belum melabuhkan tirainya.

“Baucar buku sangat memberi manfaat kepada ramai murid dan pelajar dapat membeli dalam talian dan ia sekali gus membantu ibu bapa berjimat daripada berbelanja wang ringgit,” katanya.

Beliau berkata, PBAKL bukan saja menarik kehadiran seisi keluarga tetapi menggamit kedatangan individu kenamaan serta barisan menteri dan timbalan menteri.

“Perkembangan ini menandakan orang ramai masih berminat karya ilmiah dan rata-rata pempamer mencapai hasil jualan seperti diperoleh tahun lalu pada hari ketujuh pesta buku berlangsung.

“Lokasi ini faktor penting kerana ia mempunyai akses lengkap dan sesuai untuk skala pengunjung yang ramai hingga menarik kehadiran ramai daripada atuk bawa cucu, ibu bapa bawa anak sehingga tetamu kenamaan,” katanya.

Selain itu, penerbitan buku ilmiah dan akademik mendapat permintaan menggalakkan seperti genre bacaan ringan dan santai.

“Hal ini memperlihatkan trend orang ramai minat karya ilmiah dan buku terbabit laris,” katanya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *