BERITA UTAMA

Isu Kg Sri Makmur: Penduduk perlu tunjuk bukti penduduk asal – Amirudin

PETALING JAYA – Baki keluarga yang mendakwa terkesan dengan perobohan rumah di Kampung Sri Makmur, Gombak di sini baru-baru ini perlu membuktikan mereka adalah penduduk asal yang wajar mendapat penempatan semula selain tidak mendapat pampasan daripada mana-mana pihak.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya bersedia untuk melihat kembali bantuan yang boleh diterima keluarga berkenaan kerana itu merupakan tugas hakiki sebagai kerajaan negeri.

“Kita bersedia melihat balik apa boleh dibantu, tetapi bukanlah saya janji okey baik saya ganti tetapi kita cakap kena buktikan mereka penduduk asal (yang) wajar dapat penempatan dan tidak dapat pampasan lain.

“Itu antara syarat kita letakkan, jadi (sesetengah mereka) prasyarat itu tidak dipenuhi (jadi) ditolak. Bukannya kesilapan kita, tapi yang 21 (penduduk) yang telah dapat itu (penuhi syarat). Alhamdullilah kita telah beri (pampasan),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan hanya 21 daripada 153 buah keluarga di kampung itu yang terlibat dalam kerja-kerja perobohan kediaman mendapat pampasan RM1,000 serta penempatan semula di Rumah Selangorku.

Amirudin memaklumkan sudah banyak peluang diberikan kepada penduduk kampung berkenaan bermula kira-kira dua atau tiga tahun lepas.

“Kita dah bagi peluang agak lama dari dua (atau) tiga tahun lepas termasuk rayuan terakhir selepas hari raya dan kita telah penuhi.

“…ada permintaan untuk melihat lagi tujuh, lapan orang dan kita berikan mereka (peluang) untuk buktikan beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), tetapi selebih itu tak dapat buktikan,” katanya.

Beliau berkata antara sebab tindakan itu dilakukan ialah banyak kehadiran warga asing di kawasan tersebut.

Berdasarkan kenyataan media Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) semalam, isu di kawasan itu bermula sejak Julai 2006 yang menyaksikan operasi perobohan dilaksanakan terhadap sebahagian unit rumah, namun bancian pada 2016 mendapati jumlah rumah meningkat 204 unit berbanding 80 buah pada 2006.

PKNS memaklumkan penjualan tanah di kampung itu kepada sebuah syarikat dimaterai pada 8 Sept 2020 dan syarikat tersebut memperoleh perintah mahkamah untuk melaksanakan tindakan meroboh semua struktur di tanah itu pada 14 Mei lepas.

Kerajaan Selangor juga telah menawarkan pembelian seunit Rumah Selangorku dengan harga subsidi RM65,000 dan sagu hati ‘ex-gratia’ sebanyak RM1,000 kepada 21 setinggan asal, berdasarkan pengesahan bancian pada 2006 dan 2016 mengikut senarai Pejabat Daerah Daerah dan Tanah Gombak.

— BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *