BERITA UTAMA

Perhilitan tangkap beruang matahari betina di Tanah Merah

KOTA BHARU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor beruang matahari betina di Kampung Air Asahan Hulu, Tanah Merah, semalam.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, tangkapan dilakukan susulan aduan diterima pihaknya Sabtu lalu mengenai haiwan terbabit yang berkeliaran di sekitar kebun di kampung itu.

“Anggota Pejabat Perhilitan Daerah Jeli telah menjalankan siasatan di lokasi aduan dan memasang satu unit perangkap. Seekor beruang matahari betina memasuki perangkap itu.

“Tangkapan itu sedikit sebanyak melegakan penduduk dan mengelakkan kerugian berterusan yang dialami mereka akibat kemusnahan tanaman serta harta benda,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohamad Hafid, operasi pemindahan dan pelepasan semula beruang itu ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, bagi mengurangkan kes konflik melibatkan beruang, penduduk khususnya pekebun dinasihatkan supaya mengambil langkah mitigasi seperti sentiasa berteman semasa ke kebun, tidak memasuki kawasan kebun pada waktu malam, membersihkan kebun serta memasang lampu di sekeliling rumah pada waktu malam.

“Orang ramai juga disaran lebih berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada diri sendiri,” katanya. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *