BERITA UTAMA

Dua timbalan menteri dilantik Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR

KUALA LUMPUR – Dua Timbalan Menteri dilantik Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) susulan penyusunan semula kepimpinan itu yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu semalam.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil dalam kenyataan memaklumkan, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dilantik Pengerusi MPN Sabah, manakala Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh sebagai Pengerusi MPN Pahang.

Antara ahli MPP yang tersenarai dalam penyusunan semula itu ialah Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh (Pengerusi MPN Johor) dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin (Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan).

Roland Engan pula dilantik Pengerusi MPN Sarawak, Ahmad Nazri Mohd Yusof (Terengganu), Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor (Kelantan), manakala Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Aminudin Harun masing-masing kekal sebagai Pengerusi MPN Selangor serta Negeri Sembilan.

Menurut Fahmi, PKR turut melantik tiga Ahli MPP baharu iaitu Datuk Dr Sangkar Rasam, Azan Ismail dan Datuk Dr Roslan Hussin.

Beliau berkata, mesyuarat turut membincangkan isu kemanusiaan dan peperangan di Gaza serta ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan partinya dalam usaha perdamaian di kawasan bergolak itu.

Fahmi berkata, Anwar yang juga Presiden PKR turut memberi penerangan mengenai isu semasa termasuk Perutusan Negara dan dasar kerajaan, selain menyeru anggota serta penyokong parti menggembleng tenaga dan idea bagi memacu agenda Kerajaan Madani.

“MPP juga telah membincangkan tahap kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Bakap tidak lama lagi,” katanya. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *