BERITA UTAMA

11,713 calon SPM dapat semua A, GPN lebih baik – KP Pendidikan

PUTRAJAYA – Seramai 11,713 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 memperoleh keputusan cemerlang, semua A dalam semua mata pelajaran sama ada Gred A+, A atau A-.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, Gred Purata Nasional (GPN) bagi SPM 2023 juga menunjukkan pencapaian lebih baik iaitu 4.60 mata berbanding 4.74 mata pada 2022.

Malah, kata beliau, prestasi calon SPM 2023 yang mendapat kepujian iaitu sekurang-kurangnya gred C dalam semua mata pelajaran turut meningkat kepada 83,112 calon atau 22.3 peratus berbanding 75,322 calon pada tahun sebelumnya.

“Jumlah calon memperoleh lulus atau sekurang-kurangnya E dalam semua mata pelajaran melonjak sedikit kepada 131,489 calon atau 35.2 peratus berbanding 128,193 pada tahun 2022.

“Secara umumnya, pencapaian keseluruhan calon bertambah baik dengan GPN 4.60 berbanding 4.74 mata pada 2022 iaitu perbezaan 0.14 mata. Trend GPN dari 2021 hingga 2023 juga lebih baik.

“Bagi kategori calon bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan. Namun, jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar pada 2022 dan 2023 kekal pada 0.43 mata,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Seramai 349,297 calon bersamaan 93.5 peratus layak menerima sijil SPM berbanding 347,742 calon atau 91.6 peratus pada 2022.

Seramai 373,525 calon menduduki SPM 2023, berbanding 373,974 pada 2022.

Calon SPM boleh mula memperoleh keputusan SPM 2023 mulai jam 10 pagi ini dari sekolah masing-masing.

Keputusan peperiksaan bagi calon persendirian pula akan dihantar melalui pos atau boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon mendaftar menduduki peperiksaan.

Calon juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM 2023.

Selain itu, calon boleh menyemak menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM tahun 2023.

Calon boleh menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 15888. Sistem ini akan diaktifkan mulai jam 10 pagi ini hingga jam 6 petang 2 Jun ini. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *