BERITA UTAMA

Bumbung tercabut, 6 rumah rosak akibat ribut

KUALA LUMPUR – Enam unit rumah rosak apabila bumbungnya tercabut diterbangkan angin kencang di Blok 94, Apartmen Putra Ria, Bangsar di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira 5 petang itu juga menyebabkan enam kereta dan tiga motosikal rosak dihempap kepingan zink dari bumbung berkenaan.

Seorang penduduk, M Santha Kumari, 41, berkata, rumahnya di tingkat 20 tidak terkesan, tetapi cermin belakang sebuah kereta milik adiknya pecah akibat kejadian itu.

“Ketika kejadian, bumbung nampak dah jatuh dan saya nampak betul-betul depan mata bumbung itu jatuh timpa kereta adik saya. Angin sangat kuat dan keadaan hujan, rumah saya ramai kanak-kanak, manakala adik saya juga baru bersalin, jadi perasaan risau itu memang ada,” katanya ketika ditemui BERNAMA di lokasi kejadian.

Santha Kumari yang terkejut dengan kejadian itu bagaimanapun bersyukur kerana semua penduduk selamat dan hanya membabitkan kerosakan harta benda.

Abu Bakar Hasnah, 43, yang baru pulang ke rumah ibunya pula terkejut apabila mendengar bunyi dentuman yang sangat kuat.

“Saya bergegas keluar dari rumah dan melihat bumbung jatuh berterabur serta terkena kereta di kawasan parkir bawah blok.

“Isteri saya juga sempat merakam video kejadian,” katanya sambil menambah bumbung berkenaan dipercayai mencecah usia 10 hingga 20 tahun sejak bangunan itu didirikan.

Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Lembah Pantai Sub Zon 1, Abdul Haniff Sulaiman berkata, terdapat sebuah unit rumah di tingkat 22 yang memerlukan tindakan segera kerana hampir keseluruhan bumbung tercabut.

Beliau berkata, kejadian itu kali pertama berlaku dan hampir semua pemilik kenderaan yang terjejas telah membuat laporan kepada pihaknya, manakala kontraktor bumbung juga hadir membuat penilaian bagi tindakan segera.

“Kami juga telah membuat laporan kepada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan mereka telah hadir pada malam ini… pihak syarikat pengurusan, Intra Harta Consultant Sdn. Bhd. juga hadir untuk membuat laporan.

“Terdapat juga wakil bagi pihak Ahli Parlimen Lembah Pantai (Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil) yang diarahkan oleh Fahmi untuk membuka bilik gerakan bagi penduduk terkesan membuat segala laporan yang sepatutnya,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *