BERITA UTAMA

Malaysia jinakkan Jepun, jumpa India di suku akhir

KUALA LUMPUR – Seperti dijangka Malaysia mara ke peringkat suku akhir acara berpasukan dengan bergaya selepas membenam cabaran Jepun 3-0 pada perlawanan terakhir Kumpulan C kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa di sini, malam tadi.

Kemenangan kedua selepas turut menjinakkan Brunei 3-0 pada Khamis menyaksikan skuad negara bimbingan Ahmad Jais Baharun muncul juara kumpulan sementara naib juara milik Jepun yang mengatasi Brunei 2-1 pada aksi sebelah pagi.

Malaysia akan bertemu naib juara Kumpulan B India di pentas suku akhir hari ini dalam misi menggengam kejuaraan untuk mencipta kejayaan hatrik selepas menjuarai acara double dan regu dengan menumbangkan gergasi sepak takraw dunia Thailand, Rabu lepas.

Berdepan Jepun malam tadi, pasukan negara mengutip mata pertama menerusi trio Amirul Zazwan Amir, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin yang menewaskan Ikki Mito, Daishi Tamaki dan Yota Ichikawa 15-13, 15-4.

Juara acara regu kejohanan, Farhan Adam, Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Mohamad Azlan Alias berada dalam kelas tersendiri apabila mengenepikan cabaran Ryota Haruhara, Wataru Narawa dan Toshitaka Naito 15-5, 15-5 untuk menghadiahkan mata kedua.

Momentum positif itu diteruskan regu Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican dan Muhammad Shahalril Aiman Halim yang mudah mengatasi trio Kento Nakamura, Masaki Sasamoto dan Yuki Sato 15-5, 15-7.

“Syukur atas kemenangan kedua dan layak ke suku akhir, jadi kita akan cuba untuk tampilkan prestasi lebih baik daripada malam ini. Bagi kita setiap pasukan yang kita tentang pada peringkat kumpulan mahupun suku akhir kita akan lebih serius, sebab kita tak nak pemain-pemain terlalu selesa.

“Saya harap pemain terus fokus untuk setiap perlawanan bagi memastikan prestasi pasukan kita berada pada tahap terbaik. Kalau lihat daripada barisan pemain yang kita susun, itu adalah regu yang memang kita padankan daripada peringkat fasa latihan,” kata Ahmad Jais ketika ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu, Thailand selaku juara Kumpulan B akan bertemu naib juara Kumpulan C Jepun di suku akhir manakala juara Kumpulan A Indonesia akan bertemu naib juara Kumpulan D Myanmar.

Aksi suku akhir seterusnya menemukan juara Kumpulan D Korea Selatan dan naib juara kumpulan A Vietnam. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *