Kes bunuh Bella dipindah ke Mahkamah Tinggi

BATU PAHAT – Kes seorang bekas posmen yang didakwa membunuh teman wanitanya sebelum mayatnya dijumpai di rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah, Disember tahun lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Muar.

Perkara itu diputuskan oleh Majistret Suhaila Shafi’uddin ketika prosiding sebutan izin di Mahkamah Majistret hari ini.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip sebelum itu memaklumkan kepada mahkamah pihaknya sudah mendapat kebenaran daripada Pejabat Pendakwaan Negeri Johor (PPNJ) untuk memindahkan kes terbabit.

Bagaimanapun, tarikh untuk sebutan kali pertama di mahkamah tinggi, belum diputuskan.

Tertuduh, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, hadir ke mahkamah dengan berbaju T putih sambil diiringi anggota polis bagi mendengar status permohonan izin yang tertangguh sebanyak tiga kali.

Turut kelihatan ibu bapa tertuduh serta keluarga terdekat Bella termasuk kakaknya, Norhisham Samsusah, 36, yang menunggu di luar mahkamah sejak jam 8.15 pagi.

Pada prosiding itu, Mohammad Haikal diwakili Syahril Anuar Harun manakala Tun Laila Tun Rafaee bertindak sebagai peguam pemerhati keluarga Bella.

Sementara itu, Syahril Anuar berkata, dengan arahan dikeluarkan hari ini, pihaknya akan menunggu tarikh untuk sebutan kali pertama di mahkamah tinggi.

Mohammad Haikal didakwa membunuh Bella atau Mila Sharmila Samsusah, 32, antara Jalan Kelapa Barli, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, di Kampung Parit Besar dan sebuah rumah sewa terbiar di Lorong Imam Jailani, Tongkang Pechah.

Kejadian pada jam 11 malam hingga 5 pagi, antara 14 hingga 15 Disember tahun lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Bella yang juga ibu tunggal dua anak dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah sewanya di Taman Soga, di sini, pada malam 14 Disember lalu.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *