BERITA UTAMA

Pertumbuhan ekonomi rantau APEC dijangka cecah 3.4 peratus pada 2024

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi di negara-negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dijangka mencecah 3.4 peratus pada 2024 dan perlahan kepada 2.9 peratus pada 2025-2026, demikian menurut laporan APEC Regional Trends Analysis.

Menurut laporan tersebut, unjuran pertumbuhan ekonomi yang menyederhana itu mencerminkan keadaan yang tidak menentu akibat daripada perlindungan perdagangan, tekanan inflasi yang berterusan dan ketegangan geopolitik.

“Para pelabur melindung nilai terhadap peningkatan ketidaktentuan global dengan mendapatkan lebih banyak emas, seperti yang dicerminkan menerusi lonjakan harga sebanyak 17 peratus, daripada kira-kira AS$2,050 setiap auns troy pada Januari 2024 kepada kira-kira AS$2,400 setiap auns troy pada April 2024,” katanya.

Menurut laporan itu, paras hutang yang tinggi terus membimbangkan dengan nisbah hutang kasar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) kerajaan-kerajaan melonjak semasa pandemik dan kekal tinggi sehingga selepas pandemik.

Gabungan pelbagai faktor, termasuk inisiatif rangsangan yang meluas dan sokongan fiskal yang berterusan di tengah-tengah cabaran ekonomi, telah menyumbang kepada peningkatan tahap hutang.

Di rantau APEC, nisbah itu meningkat dengan ketara kepada 104.5 peratus daripada KDNK pada 2023 daripada paras bawah 100 peratus sebelum pandemik.

Justeru, hutang awam APEC dijangka boleh meningkat sehingga 110 peratus daripada KDNK dalam tempoh terdekat berikutan gabungan impak selepas pandemik dan pakej sokongan fiskal yang bertujuan membantu kumpulan rentan.

“Ketidakpastian yang berterusan menjadikannya lebih mencabar bagi ekonomi untuk mengimbangi sepenuhnya hutang yang ditanggung semasa krisis kesihatan dan ekonomi itu dan kembali ke kepada keadaan seperti sebelum pandemik.

“Di sebalik cabaran ini, wujud potensi peningkatan yang besar didorong oleh pemulihan semula penggunaan, peningkatan pelaburan, aktiviti pelancongan yang rancak semula dan jangkaan lantunan semula perdagangan.

“Faktor-faktor ini boleh membantu mengekalkan pertumbuhan ekonomi di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, inflasi di negara-negara APEC dijangka berkurangan secara beransur-ansur dalam jangka pendek, kepada 2.9 peratus pada 2024, diikuti penurunan seterusnya kepada 2.5 peratus pada 2025 dan 2.4 peratus menjelang 2026.

Selain itu, laporan tersebut menyatakan prospek perdagangan di rantau APEC dalam tempoh terdekat ini adalah cerah.

“Unjuran menggambarkan pemulihan yang teguh pada 2024, dengan anggaran pertumbuhan menjangkau daripada 0.6 peratus hingga 12.6 peratus di seluruh ekonomi APEC.

“Purata serantau dianggarkan mencecah 4.0 peratus, lebih tinggi daripada unjuran perdagangan global. Trend yang menggalakkan ini dijangka berterusan pada 2025, disokong oleh rantaian bekalan yang berdaya tahan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih stabil,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *