KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi menegaskan tiada perbincangan dalam mana-mana mesyuarat di peringkat kementerian itu mahupun Kabinet berhubung isu kemasukan pelajar bukan bumiputera ke Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kementeriannya tidak pernah membincangkan atau membenarkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan bumiputera sepertimana yang telah dimainkan hari ini.
“Merujuk kepada isu membuka kemasukan kepada pelajar bukan bumiputera di UiTM, saya ingin memaklumkan sekali lagi dengan tegasnya isu ini tidak dibincang dalam mana-mana mesyuarat di peringkat kementerian pendidikan Tinggi mahupun Kabinet.
“Seperti kenyataan saya pada 2 Mei lalu, KPT sememangnya tidak pernah membincang atau membenarkan UiTM dibuka kepada pelajar bukan bumiputera seperti mana yang telah dimainkan pada hari ini.
“Isu ini ternyata sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM, sekalil gus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak,” tegas beliau dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Dr. Zambry berkata, kementerian itu berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 – UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, media melaporkan, Majlis Pewakilan Pelajar (MPP) UiTM menggerakkan kempen bagi membantah kemasukan pelajar bukan bumiputera ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu bermula semalam.
Jurucakapnya dilaporkan berkata, serentak dengan itu, semua penuntut diseru mengenakan pakaian berwarna hitam sebagai tanda bantahan.
Menurutnya, MPP akan membantah apa sahaja keputusan biarpun cadangan itu hanya melibatkan program pascasiswazah.
“Dalam usaha menegaskan pendirian tersebut, MPP UiTM bersepakat melancarkan kempen #MahasiswaUiTMBantah bermula semalam hingga esok 16 Mei dengan tujuan memberi pendedahan serta pengetahuan kepada seluruh mahasiswa mengenai hak asasi keadilan bumiputera.
“Oleh itu, kami ingin bekerjasama dengan seluruh mahasiswa untuk menggunakan #MahasiswaUiTMBantah pada setiap hantaran di platform media sosial bagi menunjukkan sinergi seluruh mahasiswa berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Perkara 153),” katanya.
Sebelum ini, Ahli Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Profesor Dr. Raja Amin Raja Mokhtar mencadangkan membuka program itu kepada bukan bumiputera bagi tempoh sementara.
Ujar beliau, cadangan itu bagi menangani masalah kekurangan pakar dalam bidang kardiovaskular.
Kata Dr Raja Amin, tiada pindaan undang-undang diperlukan untuk menerima pelajar bukan Bumiputera bagi tujuan tersebut. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252