BERITA UTAMA

Wartawan baharu perlu aktif turun padang, elak ‘cerita’ disampaikan hambar

KOTA KINABALU – Pengamal media khususnya dalam kalangan wartawan generasi baharu di Sabah perlu sentiasa aktif turun ke lapangan bagi mencari bahan berita lebih tulen tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada maklumat diperoleh atau dikongsikan melalui media sosial.

Pendekatan itu penting bukan sekadar untuk memberi pengalaman berharga kepada golongan wartawan tetapi membantu mereka menghasilkan laporan berita berimpak tinggi dan komprehensif dengan naratif lebih menarik menerusi pemerhatian di lokasi sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat.

Bekas Ketua Biro News Straits Times (NST) Sabah, Roy Anthony Goh, 54, yang berpengalaman 31 tahun dalam bidang kewartawanan berkata, persembahan berita berdasarkan media sosial tanpa sampai ke lapangan menjadikan ‘cerita’ cuba disampaikan wartawan agak hambar.

“Pengamatan kurang, persembahan berita sekarang dasarkan media sosial. Cerita (mengenai situasi) sebenar juga kurang kerana wartawan tidak sampai (di lapangan). Semua berdasarkan ada dimuatkan di media sosial dan apa yang tular di media sosial. Itu menyebabkan cerita (berita) tawar.

“Aspek pemerhatian perlu dipraktikkan oleh setiap wartawan bagi membolehkan setiap berita dihasilkan serta dipersembahkan dengan lebih jelas diiringi informasi tepat dan difahami pembaca,” katanya kepada Bernama.

Mengambil contoh kejadian rumah terbakar, Roy berkata, laporan berita menceritakan kisah di sebalik kejadian termasuk kesannya kepada penduduk kehilangan tempat tinggal dilihat sudah semakin kurang susulan wartawan kini lebih banyak menghasilkan berita berdasarkan maklumat daripada media sosial.

Mengakui media sosial sebagai cabaran dalam dunia kewartawanan masa kini, namun Roy berpendapat, teknologi digital seharusnya tidak menjadi penghalang wartawan khususnya di Sabah mempraktikkan budaya turun padang mencari bahan berita, mengumpul maklumat dan membuat pemerhatian di lokasi tugasan.

“Dulu (wartawan) bergantung kepada kerja di lapangan, mesti keluar ke lapangan tetapi sekarang (wartawan) berdasarkan hujung jari (media sosial). Jangan menyampaikan laporan berita berdasarkan media sosial, berita tidak ‘sampai’ (tiada impak).

“Justeru, pengamal media (khususnya) wartawan mesti dan perlu turun ke lapangan, turun padang. Sekurang-kurangnya boleh tahu hal sebenar,” katanya yang masih aktif dalam bidang kewartawanan sehingga kini.

Pandangan sama turut dikongsikan seorang wartawan veteran Sabah, Anna Vivienne, 65, yang berpendapat, pengamal media khususnya wartawan perlu kekal relevan dengan meningkatkan kemahiran penulisan dan pemerhatian terhadap sesuatu isu agar dapat memajukan industri media di negeri ini.

Anna yang berkecimpung dalam bidang kewartawanan pada 1986 dan juga penulis buku serta wartawan sebuah portal berita di Sabah turut menekankan penting bagi seorang wartawan untuk sentiasa peka serta tidak sambil lewa dalam menghasilkan laporan berita.

Beliau yang pernah menjadi wartawan beberapa agensi media tempatan Sabah serta penyampai radio berkata, kewartawanan penyiasatan juga perlu diperkasa bagi memastikan setiap laporan dihasilkan lebih menyeluruh merangkumi semua perspektif bagi merungkai apa sahaja isu berbangkit.

“Kewartawanan penyiasatan ini perlu kerana ia membolehkan kita tahu punca sebenar (sesuatu isu), kenapa, bila, bagaimana ia terjadi, siapa bertanggungjawab dan kita tanya pihak yang boleh memberi penyelesaian supaya orang tahu termasuk pihak berwajib dan pemimpin,” katanya.

Sementara itu, wartawan sambilan Berita Harian, Rafiqah Dahali, 32, berkata, agensi media juga dilihat perlu lebih terbuka dan bersedia untuk menerbitkan laporan berita yang mengetenghkan isu rakyat meskipun ia hanya bersifat tempatan bagi memastikan industri ini berkembang maju serta kekal relevan.

“Walaupun isu tempatan, tetapi pada saya, pembaca juga mempunyai keperluan untuk tahu secara mendalam dan membina kefahaman secara baik berkaitan isu-isu tempatan di sesetengah tempat,” katanya.

Bagi meraikan sumbangan pengamal media yang berperanan membentuk minda masyarakat bermaklumat selain memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri, pada 29 Mei setiap tahun diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional (HAWANA) dan sambutan itu diperkenalkan sejak 2018.

HAWANA 2024 diadakan selama tiga hari bermula 25 Mei di Kuching, Sarawak dengan mengangkat tema ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ dan kemuncak sambutan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *