KUALA LUMPUR – Enam pegawai kanan dan anggota polis yang sebelum ini ditahan berhubung kes pemerasan RM1.25 juta, direman semula selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), bermula semalam.
Mereka terdiri daripada masing-masing seorang Asisten Komisioner dan Deputi Superintendan, tiga Inspektor serta seorang Sarjan yang semuanya telah dibebaskan selepas tamat reman terdahulu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata kesemua pegawai dan anggota berusia 32 hingga 50 tahun itu kini direman mengikut Seksyen 4(5) SOSMA 2012 hingga 5 Jun depan.
“Hasil risikan dan siasatan yang dijalankan mendapati kumpulan terbabit disyaki bertindak secara bersama untuk melakukan jenayah serius dengan tujuan mendapatkan faedah.
“Justeru, penahanan ini bagi membantu siasatan lanjut yang dijalankan pihak polis sekiranya terdapat elemen lain,” katanya kepada BH, hari ini.
Seterusnya, Razarudin berkata, seorang lagi pegawai kanan polis berpangkat Inspektor juga ditahan selepas menyerah diri, menjadikan keseluruhan yang ditahan berkait kes itu mencecah tujuh orang, setakat ini.
“Pegawai berkenaan ditahan mengikut Seksyen 4(1) SOSMA 2012, dan reman ke atasnya akan dibuat pada hari ini,” katanya.
Pada 3 Mei lalu, Razarudin dilaporkan berkata, tiga pegawai berpangkat Asisten Komisioner (ACP), Deputi Superintendan (DSP) dan Inspektor dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, ditahan di sekitar Jalan Tun Razak di sini bagi membantu siasatan kes pemerasan itu, susulan laporan polis yang dibuat pada malam sebelumnya. Selain itu, dua lagi ditahan membabitkan masing-masing seorang Inspektor dan Sarjan.
Susulan penahanan lima individu terbabit, polis kemudian memberkas seorang Lans Koperal yang berkhidmat di jabatan sama.
Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan polis kerana disyaki melakukan pemerasan terhadap individu yang disiasat oleh mereka berhubung kes mata wang kripto.
Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. – BH
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252