BERITA UTAMA

Surat kepada 7 wakil rakyat Bersatu dihantar serentak minggu depan – Hamzah

HULU SELANGOR – Surat berkaitan status keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti Bersatu yang masing-masing menyokong pentadbiran Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor akan dihantar minggu depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, surat itu akan dihantar secara serentak kepada semua wakil rakyat berkenaan, sejurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu selesai.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menegaskan Bersatu antara lain jelas dengan keputusan untuk menghentikan keahlian Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang menjadi antara wakil rakyat terawal menyokong pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Suhaili yang pertama akan menerima surat (terhenti keahlian) kerana ada perkara tertentu, memang sudah ada keputusan kita yang hanya mahu menunggu pengesahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

“Dua lagi wakil rakyat Bersatu (Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi dan ADUN Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari) yang berceramah di pentas ceramah Pakatan Harapan (PH) di Kuala Kubu Baharu,” katanya dipetik Berita Harian sebagai berkata.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri ceramah umum gabungan berkenaan dekat Batang Kali di sini, malam tadi.

Hamzah berkata, kalau mengikut perlembagaan Bersatu, secara automatik Zulkafperi dan Abdul Rashid terhenti menjadi ahli parti itu, tetapi akan dibawa juga untuk membuat pengesahan di mesyuarat MPT.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, parti itu kekal dengan pendirian enam Ahli Parlimennya yang menyokong pentadbiran Anwar, akan kehilangan kerusi berdasarkan pindaan perlembagaan parti yang sudah diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Katanya, nasib enam mereka akan diketahui tidak lama lagi selepas mesyuarat MPT parti yang akan dipengerusikan Muhyiddin dalam masa terdekat.

Selain Suhaili dan Zulkafperi, empat lagi Ahli Parlimen yang menyokong pentadbiran Anwar ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Abdul Rashid pula menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Hamzah berkata, semua wakil rakyat terbabit perlu mengosongkan kerusi masing-masing bagi memberi laluan kepada PRK untuk diadakan selepas keahlian mereka dalam Bersatu terhenti kelak.

“Mereka terhenti menjadi ahli, maka dalam akta (lompat parti) sudah diluluskan. Maknanya kawasan mereka juga terpaksa mereka lepaskan kerusi,” katanya.

Ditanya kemungkinan ada antara wakil rakyat terbabit membawa kes ke mahkamah, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut bagaimanapun, menyifatkan tindakan itu adalah perkara biasa.

“Bila terhenti (keahlian), mereka mahu bawa ke mahkamah itu biasalah,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *