Piala Sumbangsih: Enggan kompromi soal keselamatan, Selangor FC nekad ‘tidak hadir’

PETALING JAYA – Pengurusan Selangor FC mengambil keputusan untuk tidak hadir dalam perlawanan Piala Sumbangsih dengan Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim yang dijadualkan Jumaat ini.

Dalam kenyataan semalam, Astro Awani melaporkan, kelab itu sebagai berkata, mereka mengambil maklum keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menolak permohonan Selangor FC untuk menangguhkan perlawanan itu.

Ia sebagai respons kepada kenyataan awal MFL menjelaskan, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar telah memberi jaminan untuk mengerahkan 1,500 anggota polis bertugas, termasuk melakukan kawalan dan pemeriksaan ketat pada perlawanan itu berbanding hanya 500 anggota pada kebiasaannya.

“Setelah penelitian dijalankan dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak berikutan rentetan daripada insiden jenayah serta ancaman baru berlaku, melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh 72 jam.

“Pihak kelab terpaksa mengambil keputusan amat sukar untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang telah lama kelab ini nantikan,” menurut kenyataan itu lagi.

Selangor FC berkata, berdasarkan keadaan semasa yang tidak menentu, keselamatan pasukan perkara paling utama dan mereka memandang serius segala bentuk keganasan serta ancaman.

Menurut kenyataan itu lagi, pengurusan kelab tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan pasukan.

Terdahulu MFL dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya terpaksa menolak permohonan Selangor FC untuk menangguhkan perlawanan itu.

MFL berkata, mereka tidak pernah berkompromi dalam memastikan keselamatan pemain serta penyokong yang hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Malaysia menerusi kerjasama pasukan dan pihak berkuasa tempatan.

Melalui mesyuarat bersama semua ketua pegawai keselamatan kelab Liga Malaysia hari ini, MFL berkata, ia akan memastikan koordinasi keselamatan bagi setiap perlawanan Liga Malaysia musim ini dipertingkatkan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *