BERITA UTAMA

Nyawa, keselamatan pemain lebih penting – Sultan Selangor

SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan dan menyokong sepenuhnya keputusan pasukan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang dijadual berlangsung esok menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Menerusi kenyataan Selangor Royal Office, baginda selaku Penaung Selangor FC, berpandangan, susulan berlakunya beberapa insiden mengancam nyawa membabitkan pemain dan pegawai baru-baru ini, adalah bertepatan untuk pasukan Selangor FC tidak menyertai perlawanan berkenaan yang juga aksi pertama Liga Super edisi 2024.

“Baginda bertitah, keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan pemain, bukannya untuk memenangi piala berkenaan.

“Titah baginda lagi, bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid membabitkan pemain sayap, Faisal Halim, juga harus diambil kira,” menurut kenyataan itu hari ini yang dipetik Berita Harian sebagai melaporkan.

Dalam kenyataan itu baginda turut menzahirkan kekecewaan kerana Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Selangor FC supaya menangguhkan perlawanan berkenaan.

“Baginda juga mahu semua pihak memahami tahap keseriusan insiden yang membabitkan nyawa pemain sebegini tidak sama dengan kes sebelum ini, apatah lagi ia berlaku sangat hampir dengan tarikh perlawanan.

“Baginda turut menegaskan Selangor FC sedia berdepan dengan apa jua tindakan, susulan daripada keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan ini,” demikian kenyataan itu. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *