BERITA UTAMA

UPNM tawar latihan bidang rel kepada veteran, bakal pesara tentera

KUALA LUMPUR – Veteran dan bakal pesara tentera berpeluang menyambung kerjaya dalam bidang rel melibatkan sektor komunikasi dan keselamatan, kata Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad.

Beliau berkata, projek dengan kerjasama Asian Rail Academy Sdn. Bhd. itu dijangka dimulakan dalam masa terdekat dengan pengambilan 400 pesara sebelum diperluas kepada bakal pesara.

“Projek ini melatih golongan veteran bukan sahaja untuk bekerja di negara kita, tetapi juga negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Arab Saudi yang turut terlibat sama dalam sistem rel yang ada.

“Saya melihat satu potensi dalam bidang ini, namun kita tetap perlu seimbangkan semula dari segi kelayakan bagi latihan vokasional supaya mereka ini boleh laksanakan kerja yang diberi,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Terdahulu, Mardzuki mewakili UPNM menandatangani surat niat (LoI) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Rail Academy Sdn. Bhd., RA Thiagaraja di luar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024, di sini, semalam.

Selain Rail Academy Sdn. Bhd., Mardzuki bagi pihak UPNM turut menandatangani LoI dengan Cendana Auto Sdn. Bhd. (CASB) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Fairuz Abd. Razak bagi menjalin kerjasama dalam penyelidikan dan inovasi memantapkan armada kenderaan Tentera Darat.

“Pelbagai perkara boleh dilakukan seperti pertukaran maklumat dan pengetahuan bermatlamat untuk meningkatkan pengetahuan akademik dan latihan amali,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Mardzuki bagi pihak UPNM turut menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Huihuang International (M) Sdn. Bhd., sebuah agensi yang akan bertindak selaku ejen bagi meningkatkan pengambilan pelajar antarabangsa UPNM. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *