GENEVA – Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk keganasan seksual dilakukan tentera Israel terhadap wanita dan kanak-kanak semasa perang di Gaza, terutama aduan mengatakan ramai mangsa ‘hilang’ selepas serangan itu.
“Kami terkejut mendapati wanita menjadi sasaran serangan ganas Israel secara sembarangan tanpa perikemanusiaan dan menggunakan kekasaran luar biasa.
“Nampaknya, mereka mahu memusnahkan kehidupan mereka dan menafikan sebarang hak asasi manusia,” kata tujuh pelapor khas PBB dalam satu kenyataan.
Pelapor khas ialah pakar bebas yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB tetapi mereka tidak bercakap bagi pihak PBB.
Kenyataan mereka itu merujuk kepada laporan berterusan mengenai serangan seksual dan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, terutama membabitkan mereka yang ditahan oleh tentera Israel.
Kumpulan pelapor itu memetik laporan PBB yang mengatakan wanita dan gadis di Gaza juga menjadi mangsa penculikan dan kerap kali ‘hilang’.
Pakar PBB berkata pemusnahan meluas Israel terhadap perumahan di Gaza dan hakikat bahawa rakyat Palestin terpaksa hidup dalam keadaan tidak menentu di khemah sementara memberi kesan negatif kepada wanita dan kanak-kanak perempuan, terutama terhadap keselamatan peribadi dan kerahsiaan mereka.
“Rawatan wanita hamil dan menyusu juga amat membimbangkan, dengan pengeboman berterusan menyasarkan hospital dan penafian akses kepada kemudahan penjagaan kesihatan oleh penembak tepat Israel,” tambah mereka.
Lebih 180 wanita melahirkan anak tanpa ubat menahan sakit, manakala ratusan bayi meninggal dunia akibat kekurangan bekalan elektrik untuk inkubator.
Pakar berpendapat keadaan itu turut menyebabkan lonjakan keguguran.
Mereka berkata, tentera Israel telah memusnahkan klinik kesuburan terbesar di Gaza, yang menyimpan embrio, dan menganggarkan bahawa 690,000 wanita dan kanak-kanak perempuan di Gaza tidak mempunyai akses kepada tuala wanita.
Misi Israel di Geneva berkata Israel menolak dakwaan yang tidak berasas mengenai serangan seksual dan keganasan.
Ia berkata Israel bersedia untuk menyiasat sebarang dakwaan konkrit salah laku oleh pasukan keselamatannya apabila dikemukakan dengan dakwaan dan bukti yang boleh dipercayai.
Pakar PBB berkata kerajaan Israel secara berterusan gagal menjalankan siasatan bebas, tidak berat sebelah dan berkesan terhadap jenayah yang dilaporkan. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252