Tahukah anda, Taman Tasik Permaisuri…

TAMAN Tasik Permaisuri mempunyai keluasan kawasan 122 ekar atau 49.4 hektar. Ia dibuka dengan rasminya oleh D.Y.M.M Sultanah Zanariah, D.K Raja Permaisuri Agong ke-8 pada 2 April 1989.

Taman tasik ini dibangunkan pada tahun 1984 dan terletak antara Jalan Budiman dan Jalan Tenteram, Cheras iaitu 15 kilometer dari pusat bandar.

Ianya terdiri dari sebuah tasik seluas 14 ekar dengan empat pulau kecil di dalamnya. Kawasan sekitarnya ditanam pokok rendah dan renek yang bukan sahaja mengindahkan taman ini, tetapi juga sebagai tempat untuk berlindung dari terik matahari.

Lokasinya berhampiran Kompleks Renang Kuala Lumpur, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Kompleks Sukan DBKL, Pusat Belia Antarabangsa, Unit Berkuda DBKL, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan Masjid Bandar Tun Razak, menjadikannya tempat tumpuan popular bagi pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Tarikan utama di taman ini adalah Laman Iskandar Puteri yang terletak di sudut seluas dua hektar. Ia bercirikan Taman Diraja Melayu Tradisi, ditanam dengan bunga-bungaan dan dilengkapi dengan pancutan air berirama dan pancutan air berbentuk sireh junjung.

Bagi mereka yang berminat menganjurkan aktiviti secara ’outdoor’ seperti Hari Keluarga, penggambaran dan lain-lain boleh membuat tempahan melalui Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi.

Waktu taman dibuka bermula dari jam 6 pagi hingga 10 malam setiap hari. Pengunjung diharap dapat mematuhi Undang-Undang Kecil Taman 2012 untuk memastikan keselesaan semua. – Nasionaldaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *