BERITA UTAMA

Nama syarikat seleweng minyak masak subsidi didedah selepas laporan diterima

BANGI – Nama syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi yang dikenal pasti terlibat dalam aktiviti penyelewengan barangan kawalan itu akan didedahkan sebaik laporan lengkap diterima, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata ketika ini beberapa negeri masih belum selesai menjalankan proses audit dan menyerahkan laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Sebaik laporan itu siap, kita akan melaksanakan pengumuman dan tindakan yang perlu dalam tahun ini serta penambahbaikan yang akan dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan cawangan pertama Richiamo Mart di sini hari ini.

Pada 10 Mac lalu, Armizan berkata pihaknya akan mendedahkan senarai syarikat yang menyeleweng hingga menyebabkan ketirisan agihan minyak masak di pasaran dan mengenakan tindakan tegas termasuk pembatalan serta merta lesen.

Dalam pada itu beliau berkata pihak yang menjual minyak masak paket bersubsidi secara dalam talian dengan tidak mengikut harga dan kuantiti ditetapkan kerajaan bakal berdepan tindakan undang-undang kerana melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Armizan berkata minyak masak paket bersubsidi antara barangan kawalan yang disenaraikan di bawah Akta 122 selain 11 barangan lain seperti gula, tepung, petrol dan diesel.

Pencarian di media sosial mendapati barangan kawalan itu dijual secara pukal pada harga RM90 bagi tiga kotak yang mengandungi 50 paket minyak masak dan RM900 bagi 50 kotak yang mengandungi 850 paket.

Beliau turut mengharapkan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan rasmi kepada KPDN terhadap sebarang kesalahan berhubung barangan kawalan sebelum menularkannya di media sosial.

“Bila ditularkan maka pihak yang melakukan kesalahan menyembunyikan kesalahan mereka. Buat laporan secara rasmi di portal dan platform disediakan dan saya beri komitmen yang kita akan ambil tindakan serta merta,” katanya.

Dalam perkembangan lain Armizan bersetuju dengan kenyataan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Ghani supaya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) lebih tegas dan teliti ketika melaksanakan proses pemeriksaan produk yang dilabel dengan kempen memboikot produk minyak kelapa sawit ke dalam negara ini.

“Ini dapat melengkapkan ekosistem bukan hanya penguatkuasaan, tapi sebelum barangan ini sampai ke premis perniagaan, ia telah dikawal selia bermula di pintu masuk,” katanya.

Sebelum ini KPDN menyerbu sebuah kedai serbaneka di Putrajaya yang disyaki menjual produk makanan tertera perkataan ‘No Palm Oil’ atau ‘Tiada Minyak Sawit’ pada bungkusan. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *